suria

Wanita anggap bekas suami kejam, cepat ‘move on’ sampai tak peduli kebajikan anak - “Dia banyak masa fikir soal cinta”

Lelaki yang mudah 'move on' selepas bercerai hingga menemui pengganti sering dipandang serong. -Gambar hiasan AI

PERPISAHAN bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika pasangan itu mempunyai anak kecil yang memerlukan perhatian serta kasih sayang ibu dan bapa.

Berdepan situasi sama, seorang wanita yang diberi hak penjagaan anak selepas bercerai berkongsi kisah hidupnya untuk dijadikan renungan dan pengajaran bersama.

Menurut pengadu, tanggungjawab membesarkan anak membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk mencari cinta baharu.

Perkahwinan semula adalah fasa baharu dalam hidup ibu bapa yang melalui sejarah perceraian. -Gambar hiasan

Situasi itu berbeza di pihak bekas suaminya apabila dia memilih untuk berkahwin dan membina kehidupan baharu bersama wanita lain.

"Saya bercerai pada 2019 dan bekas suami bernikah semula pada 2024. Tapi dalam tempoh sebelum nikah tu dia dah ada dua atau tiga bekas teman wanita.

"Sedangkan masa tu saya yang jaga anak. Sudah enam tahun jadi ibu tunggal. Tak pernah ada kekasih sejak kami berdua bercerai," katanya di media sosial.

Menerusi luahan sama, wanita itu membuat kesimpulan bahawa bekas suaminya yang mudah move on dan senang mencari pengganti pasangan hidup adalah lelaki tidak bertanggungjawab khususnya terhadap zuriat sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Asyik pening, muntah-muntah tapi tak hamil... Wanita hidup merana kahwin duda, bekas isteri suami tak ‘move on’ hantar sihir!

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dendam dengan bekas suami, anak tak patut dihalang jumpa bapa! Doktor beri nasihat berguna untuk ibu tunggal ‘move on’

Dakwanya, sejak bercerai bekas suaminya tidak pernah menjenguk atau bertanya khabar tentang anak mereka.

"Saya rasa lelaki yang mudah move on ni ialah bapa yang tak sepenuhnya jaga anak. Jadi dia banyak masa fikir soal cinta.

"Bekas suami saya bukan setakat tak sepenuhnya jaga, tapi memang tak tengok anak dia langsung.

  • Seorang wanita kongsi kisah selepas bercerai pada 2019, bekas suami sudah berkahwin semula pada 2024.
  • Dia mendakwa lelaki itu pernah mempunyai beberapa teman wanita sebelum bernikah lagi.
  • Sepanjang enam tahun bergelar ibu tunggal, dia menjaga anak tanpa bantuan bekas suami.
  • Bekas suami dikatakan tidak pernah menjenguk anak sejak empat tahun lalu.
  • Netizen bersimpati dan menasihati wanita itu agar teruskan hidup serta fikirkan masa depan bersama anak.

"Dah hampir empat tahun dah. Tergamak dia ya. Sedih sebab kasihankan anak je bukan sebab dia dah jumpa pengganti saya.

"Saya tak harapkan bekas suami pun, cuma terfikir macam mana ada manusia yang kejam dengan anak sendiri tapi masih ada perempuan nak," luahnya lagi.

Perkongsian wanita itu mendapat perhatian netizen yang bersimpati dengan apa terjadi kepada diri dan anaknya gara-gara sikap bekas suami.

Rata-rata netizen memberi pandangan agar wanita ini tidak terus hidup sendiri dan memikirkan masa depan anak.

Komen netizen di media sosial.

"Kalau awak simpati dekat anak tak dapat kasih sayang seorang bapa, cari la bapa baharu yang boleh sayangkan anak awak.

"Adik lelaki saya macam ni la. Lepas bercerai, ipar yang jaga anak-anak sepenuhnya. Dia bernikah baharu.

"Lepas lima bulan nikah, curang dan bercerai. Baru berapa bulan bercerai, nikah baharu lagi. Tak tahu la dia guna enjin turbo kut untuk move on," komen beberapa netizen.

Artikel Lain