SEPERTI mati hidup semula.
Itulah perasaan seorang ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Eyna tatkala mengenangkan insiden cukup mendebarkan apabila leher anak keduanya, Qayyim, terjerut tali buaian.
Kejadian pada 15 Julai lalu di kediaman mereka di Kemaman, Terengganu itu menjadi detik hitam yang sukar dilupakan, apatah lagi saat si ibu melihat anak berusia sembilan tahun itu terbujur lemah dalam pelukan suami.
"Sebelum tu Qayyim panjat sofa, kemudian terjatuh menyebabkan dia terbelit pada tali buai tu. Masa terbelit tu dia takut nak panggil abangnya yang tidur berdekatan.
Eyna bersama ahli keluarganya.
"Kebetulan saya dan suami baru saja pulang dari bank. Tiba-tiba saya terdengar jeritan suami memanggil nama Qayyim.
"Apabila saya masuk rumah, suami sudah leraikan ikatan dan gendong dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bibirnya biru, nadinya pun dah berhenti," ceritanya kepada mStar.
Tanpa berlengah, pasangan itu segera bergegas ke Hospital Kemaman sebelum Qayyim dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (SNZ), Kuala Terengganu.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kanak-kanak 7 tahun lemas di kolam renang homestay
ARTIKEL BERKAITAN: "Mana... mati ke?" - Ibu meraung di lokasi kemalangan, anak maut dirempuh kereta Honda langgar lampu isyarat
Selama tiga malam kanak-kanak itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) dan empat malam di wad biasa.
Terdahulu, kisah Qayyim mendapat perhatian ramai selepas ibunya berkongsi video di TikTok saat kanak-kanak itu bertarung nyawa dan menerima rawatan di hospital.
Bercerita lanjut, Eyna berkata sebagai ibu hatinya luluh saat melihat tubuh kecil anaknya dipenuhi wayar dan mesin bantuan pernafasan.
"Doktor cakap peluangnya 50-50 (tipis) untuk kembali normal sebab ada kecederaan pada otak akibat terjatuh. Melihat tubuh anak dengan segala peralatan hospital membuatkan saya berfikir.
"Terlintas di fikiran saya... anak aku akan mati ke? Tapi pada hari kedua dalam PICU, saya cakap kalau sayang mama, genggam tangan.
- Qayyim terjerut tali buaian selepas jatuh dari sofa di rumahnya di Kemaman.
- Bibir biru, nadi terhenti sebelum diselamatkan dengan CPR dan dipindahkan ke SNZ.
- Dirawat tiga malam di PICU, empat malam di wad biasa dengan peluang tipis.
- Lepas kejadian kanak-kanak itu alami masalah ingatan dan pembelajaran, perlu rawatan susulan.
- Kini kembali ke sekolah dan bermain, ibu masih trauma tapi syukur anak terselamat.
Ringkasan ini dijana oleh AI
"Terus dia genggam tangan saya. Masa tu memang tak dapat digambarkan perasaan saya, rasa syukur sangat," tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Kini selepas 2 bulan insiden itu berlaku, Eyna berkata Qayyim menunjukkan perubahan ketara terutama dalam soal pembelajaran dan daya ingatan.
Justeru bagi memastikan pemulihan berterusan, anaknya perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan bersama pakar kanak-kanak, psikiatri dan fisioterapi.
Walaupun tidak pulih sepenuhnya, Qayyim kini sudah kembali ke sekolah dan mampu bermain basikal seperti biasa.
Qayyim (tengah) ketika berjumpa semula rakan-rakan di sekolah yang merinduinya.
Mengakui masih trauma, Eyna yang sudah 15 tahun mendirikan rumah tangga berkata dia dan suami akan lebih berhati-hati terutama ketika mahu meninggalkan anak-anak di rumah.
"Apabila ingat semula, saya menangis masa kejadian tu dan salahkan diri sendiri. Ini pengajaran paling besar dalam hidup saya sebagai ibu.
"Walaupun tinggal anak-anak sekejap saja, pastikan mereka sentiasa dalam keadaan selamat. Budak sekarang cerdik, semua benda dia nak cuba. Jadi kita yang kena peka.
"Sebagai ibu, saya hanya mampu titipkan doa agar Qayyim kembali sihat seperti dahulu dan sentiasa dilindungi Allah SWT," ujarnya.