suria

“Tepat atas kepala mak aku!” - Individu bersemuka dengan penghuni PPR buang sampah dari atas, kantoi ada alamat ‘parcel’

Bungkusan sampah yang dicampak dari aras tinggi dalam kejadian di sebuah PPR di Cheras. -Foto media sosial

ISU pembuangan sampah oleh penghuni tidak bertanggungjawab dari aras tinggi bukanlah satu perkara baru di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Walaupun bukan semua berperangai demikian, tindakan segelintir penghuni inilah mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap komuniti B40.

Baru-baru ini, seorang individu meluahkan rasa kecewa selepas berdepan situasi menjengkelkan ketika menghantar neneknya yang menetap di sebuah flat PPR yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur. 

"Tadi hantar nenek ke rumah dia. Masa tu tengah bersalaman dengan nenek dekat kawasan parkir. Tiba-tiba ada sampah berair jatuh dari atas dan tepat kena mak aku. Kereta juga kena sikit.

"Siapa je tak bengang? Sampah jatuh tepat atas kepala mak sendiri, terpercik kena nenek aku. Tak senonoh langsung buang sampah macam tu!" tulisnya.

Penduduk PPR sering dikaitkan dengan mentaliti kelas bawahan. -Gambar hiasan

Menurut individu berkenaan, ibunya terpaksa menukar pakaian gara-gara dicemari dengan cecair busuk daripada plastik sampah tersebut.

Geram dengan apa yang berlaku, dia cuba menyiasat dan berjaya menemui pemilik plastik sampah berkenaan berdasarkan satu alamat pada plastik bungkusan (parcel).

Dia kemudiannya naik ke unit individu tersebut untuk bersemuka dengan penghuni unit tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ingat penghuni PPR sengkek ke?” - Wanita tempelak persepsi negatif orang luar, dedah ramai mampu pandu Mercedes

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 3 minggu huni flat, wanita nak pindah segera! Tak tahan sikap, mentaliti jiran-jiran... Firasat suami ternyata betul!

"Sampai rumahnya, ada budak-budak keluar dan mengaku memang sampah tu dari rumah mereka. Katanya mereka letak sampah dekat tingkat lima, tapi tak tahu siapa yang buang keluar.

"Mujur budak tu turun tolong buangkan sampah tu dan cuci bekas kotoran dekat kereta. 

"Kesian juga sebenarnya dekat budak tu, bukan dia yang buang tapi salah dia juga letak sampah dekat tingkat lain. 

"Tolonglah warga PPR, jangan buang sampah merata macam ni, bahaya dan menyusahkan orang lain," tulisnya lagi.  

  • Seorang individu kecewa ibunya terkena sampah berair yang dicampak dari aras tinggi di flat PPR di Cheras, Kuala Lumpur.

  • Ibunya terpaksa menukar pakaian kerana terkena cecair busuk daripada plastik sampah.

  • Individu itu berjaya mengesan asal usul sampah berdasarkan alamat pada plastik dan bersemuka dengan penghuni unit terbabit.

  • Penghuni mengaku sampah diletak di tingkat lima, tetapi tidak tahu siapa yang membuang keluar dari situ.

  • Rata-rata netizen setuju dengan kecaman terhadap sikap tidak bertanggungjawab itu dan menggesa tindakan tegas dari pihak pengurusan dan PBT.

Dalam hantaran tersebut, dia turut memuat naik gambar bungkusan sampah yang dicampak dan jatuh berhampiran keretanya.

Kelihatan bungkusan berkenaan berisi sisa makanan serta sampah domestik lain.

Di ruangan komen, rata-rata bersetuju dengan pandangan individu berkenaan sambil menggesa agar pihak pengurusan perumahan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap penghuni yang tidak bertanggungjawab.

Sebahagian daripada komen netizen terhadap perkongsian berkenaan. 

"Mentaliti macam ni letak dekat mana pun hancur. 

"Mentaliti hulu, tinggal dekat Hollywood sekalipun tetap tak boleh buat apa. 

"Perangai macam ni hasil daripada didikan ibu bapa dan bukan sebab B40 atau T20," demikian antara komen netizen.

Artikel Lain