PERNAH dikecam hebat pada penganjuran acara tahun lalu, Remy Ampang tetap tidak serik untuk menganjurkan Honda Day Malaysia 2025.
Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohd Syaz Remy Syaz Riza, 40, kritikan yang diterima dijadikan semangat untuk memperbaiki kelemahan penganjuran acara tahunan sejak 2016 itu.
Remy memaklumkan dia tidak gentar sekiranya acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu cuba diboikot pihak tertentu disebabkan kontroversi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Honda buruk sebelum ini.
Remy memaklumkan proses penganjuran Honda Day 2025 berjalan lancar.
"Saya tidak pernah menyesal, kontroversi itu tercetus selepas pihak penaja yang berjanji menaja kereta sejak 2023 gagal menunaikan janji.
"Bila tanya, asyik kata nanti akan hantar. Sampai tinggal sebulan nak event, masih tak dapat kereta. Saya pernah kata, kalau tak ada kereta baharu pun, kereta lama pun tak apa, janji ada kereta,” katanya kepada mStar.
Remy berkata dia juga mengeluarkan duit poket sendiri sebanyak RM1,500 bagi membantu penaja tersebut menyiapkan urusan kenderaan itu, namun hanya menerima kereta seminggu sebelum acara berlangsung.
ARTIKEL BERKAITAN: Program gah Honda Day jadi bahan lawak! Kereta buruk, enjin semput hadiah utama cabutan bertuah... FL5 hanya ‘mimpi’
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas teruk dikutuk bagi hadiah kereta buruk enjin semput... Penganjur terus hantar BMW F30 ke rumah pemenang
“Sebab kita dah posterkan ada hadiah kereta, kita tetap letak kereta tu walaupun perlu restore selepas acara. Pemenang pun setuju, tak ada masalah,” katanya.
Namun, belum sempat kereta itu dibaiki, video cabutan bertuah kereta tersebut tular dan menyebabkan dia dikecam teruk warga maya.
Katanya, hadiah kereta terpakai bukan perkara baharu di Honda Day kerana sejak edisi terdahulu peserta pernah menerima kereta dalam keadaan tidak lengkap.
- Remy Ampang tidak serik anjur Honda Day Malaysia 2025, Disember ini walau dikecam hebat tahun lalu.
- Akses masuk kali ini percuma, berbeza dengan RM10 sebelum ini.
- Cabutan bertuah tidak lagi menawarkan kereta, sebaliknya hadiah berbentuk barangan automotif.
- Kos penganjuran cecah RM100,000 meliputi sewaan lokasi, logistik dan fasiliti, malah Remy pernah menambah duit poket sendiri.
- Lebih 500 tempahan baju rasmi sudah diterima.
- Acara ini dilihat platform peminat Honda berkumpul, berniaga dan mengeratkan ukhuwah.
“Pernah kita bagi Honda CR-V tanpa enjin. Kita serah kereta dengan geran dan kunci, pemenang bebas nak pasang enjin apa pun.
"Tak pernah jadi isu sebelum ini. Cuma bila ia viral pada tahun lalu, ramai netizen tak faham, mereka ingat mesti kena bagi kereta baharu,” ujarnya.
Jelasnya, Honda Day tidak mendapat tajaan besar seperti acara lain, sebaliknya dibiayai daripada hasil jualan baju rasmi serta vendor yang mengambil bahagian.
“Event lain ada penaja besar, kementerian, atau kerajaan negeri. Kita semua guna modal sendiri, rolling daripada jualan baju dan vendor. Orang tak nampak benda tu. Mereka hanya nampak hadiah kereta,” katanya.
Honda Day 2024 dikritik teruk disebabkan hadiah cabutan bertuah.
Sementara itu, ditanya mengenai penganjuran kali ini, Remy memaklumkan bahawa kemasukan kali ini adalah percuma berbanding tiket berharga RM10 yang dikenakan sebelum ini.
Remy memaklumkan hadiah berupa kereta tidak lagi ditawarkan seperti sebelum ini bagi mengelakkan kontroversi.
“Kalau letak hadiah kereta, isu akan timbul macam-macam. Jadi kita fokus kepada barangan kereta sahaja, itu pun nilainya besar.
"Ia sama seperti edisi lalu, peserta perlu membeli baju untuk melayakkan diri masuk cabutan bertuah. Mereka yang membeli baju akan menerima pelekat, topi, serta nombor untuk penyertaan," jelasnya.
Menurut Remy, setakat ini lebih 500 tempahan baju rasmi telah diterima menerusi pendaftaran di laman sosial rasmi.
“Kita buat acara ini bukan sebab hadiah atau duit, tetapi sebagai peluang peminat Honda berkumpul, berniaga, jual beli barangan, dan jumpa kawan lama. Itu yang lebih penting,” katanya sambil menambah acara tahun ini akan berlangsung pada 20 Disember.