SEORANG wanita berkongsi pengalaman menakutkan ketika menginap di sebuah hotel apabila individu tidak dikenali mencereboh dan tidur di biliknya.
Berkongsi cerita di TikTok, wanita tersebut berkata, dia bersama suami dan rakan lain menginap di dua bilik berasingan untuk tempoh dua malam di hotel berkenaan.
Ketika malam kedua, mereka yang baru pulang selepas berjalan-jalan terkejut apabila mendapati pintu bilik tidak berkunci.
Wanita yang dipercayai mabuk hingga tersalah masuk bilik pasangan suami isteri berkenaan nyenyak tidur walaupun dikejutkan pengawal keselamatan.
"Kami tinggalkan bilik berkunci pada pukul 3.15 petang dan letak tanda clean up the room di kedua-dua bilik.
"Kami balik hotel pukul 11.30 malam. Sampai sahaja bilik, tengok tak berkunci, dan selak pun ke dalam. Masa itu memang pelik.
"Saya buka pintu dan sangat terkejut sebab masa tu dah tengah malam. Ingatkan hantu. Suami terus telefon kaunter sebelum dua pengawal datang," kongsinya namun enggan mendedahkan lokasi hotel tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Pucat muka mat salih wanita bertudung muncul depan pintu! Rupanya salah bilik, kejutan gagal... “Nasib baik dia pakai sopan”
ARTIKEL BERKAITAN: Lepas tersalah tegur tapak ‘camping’ macam kampung bunian, wanita tak sengaja rakam entiti bertongkat tinggi seberang sungai
Ujarnya, selepas beberapa jam siasatan, pihak hotel mendapati individu yang merupakan seorang wanita itu sebenarnya tetamu di bilik lain yang tersilap masuk ke bilik mereka kerana pintu tidak dikunci.
"Mereka hubungi teman lelaki atau kawannya untuk ambil dia di bilik saya dan suami. Kami turun ke kaunter sebab tak mahu jadi kes.
"Staf tanya nak tukar bilik atau cadar... kami sangat penat dan malas nak kemas semula, jadi tukar cadar sahaja. Kami masuk bilik 1.30 pagi dan masih trauma dengan bayangan perempuan tidur di situ," katanya.
Keesokan harinya, dia dan suami menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan hotel.
- Seorang wanita mendakwa mengalami detik menakutkan apabila menemui seorang individu tidak dikenali sedang tidur di bilik hotel.
- Pihak hotel mengakui berlaku kecuaian housekeeping yang gagal mengunci pintu selepas membersihkan bilik.
- Mangsa menuntut refund penuh selepas hanya ditawarkan RM150 pada awalnya.
- Mujur tiada barang berharga yang hilang, namun mangsa mengaku masih trauma dengan insiden itu.
- Netizen menyifatkan kesilapan hotel sebagai bahaya dan menggesa mangsa menuntut haknya sebagai pelanggan.
Selepas siasatan, pihak pengurus dan penyelia bahagian kebersihan dan pengemasan bilik (housekeeping) akhirnya mengakui berlaku kecuaian oleh pekerja yang gagal mengunci pintu selepas membersihkan bilik.
"Saya ada minta tengok CCTV tetapi pihak hotel tidak benarkan, kalau nak, kena buat laporan polis. Itu akan makan masa kami sebab nak balik.
"Mujurlah tiada barang yang hilang, itu salah satu sebab kami tidak buat laporan polis. Jadi jangan tinggalkan barang berharga di hotel. Sila bawa bersama ke mana sahaja," katanya lagi.
Sementara itu, menjawab soalan netizen di ruangan komen sama ada dia menerima pemulangan semula (refund), wanita itu memaklumkan dia kini sedang menunggu bayaran penuh yang sedang diproses.
"Pada mulanya mereka hanya mahu beri RM150 sahaja. Selepas buat aduan rasmi saya minta bayaran balik penuh untuk kedua-dua bilik. Sekarang masih menunggu pihak Agoda membuat susulan kes," katanya.
Sebahagian daripada reaksi netizen.
Sementara itu, warga maya berharap wanita tersebut dapat menuntut haknya sebagai pelanggan memandangkan insiden berkenaan merupakan kecuaian oleh pihak hotel.
"Housekeeping kena lock pintu lepas bersihkan, kalau nak check dia kena ketuk dulu bilik untuk make sure guest tak balik ke bilik lagi. Memang salah hotel pun, sebab cuai.
"Lepas kemas bilik tak kunci terus?? Wehh bahaya gila kalau orang lain masuk. Teruknya housekeeping," katanya.
Sehingga kini perkongsian wanita tersebut meraih lebih 2.2 juta jumlah tontonan di TikTok.