"SAYA reda, tapi jujur rasa ralat itu tetap ada," luah usahawan, Nurliyana Abdurrahman apabila barang kemas bernilai hampir RM180,000 hilang selepas pulang dari mengerjakan umrah pada Sabtu.
Pengasas jenama Leenayarahman berkenaan menyedari kehilangan itu sebaik tiba di rumah dan membuka bagasi yang dibawa pulang dari Tanah Suci.
Jelasnya bekas barang kemas mengandungi emas dan emas putih yang sepatutnya berada di bahagian bawah beg, tersorok dalam lapisan pakaian didapati berada di bahagian paling atas dan dalam keadaan digeledah.
Nurliyana baru sahaja pulang dari mengerjarkan umrah pada Sabtu.
“Saya letakkan barang kemas itu dalam satu bekas kecil yang diletakkan jauh ke dalam beg berzip. Tapi apabila buka beg, bekas itu terus nampak ada di atas sekali.
"Bukan niat nak sorok, tapi memang simpan dalam-dalam supaya selamat. Tiba-tiba terbuka dan terus nampak. Masa tu saya tahu, dah tak ada,” katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Madammu berputih mata, gelang dan cincin jenama Cartier RM40,000 hilang ketika bercuti
ARTIKEL BERKAITAN: Emas nilai hampir RM1 juta lesap, Kieda yakin ‘kerja’ orang sekitar! Simpan di rumah untuk ‘sumber kekuatan’
Menurut Nurliyana, dia mengesyaki barang kemas itu hilang semasa transit tiga jam di Jeddah, sebelum penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
“Masa pergi tak ada masalah langsung sebab saya hand carry. Tapi masa balik saya rushing, saya tak tahu kenapa saya letak dalam luggage yang check-in.
“Sebenarnya saya tak pakai pun barang kemas itu sepanjang umrah. Saya bawa sekali kerana dalam bekas itu ada kerongsang yang saya terlupa nak asingkan. Niat memang tak nak guna pun,” jelasnya.
- Pengasas Leeyanarahman, kehilangan barang kemas bernilai hampir RM180,000 selepas pulang dari menunaikan umrah.
- Barang kemas disimpan dalam beg berzip dan diletakkan di bahagian dalam, namun ditemui di atas sekali dalam keadaan digeledah.
- Kejadian dipercayai berlaku ketika transit selama tiga jam di Jeddah, sebelum penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
- Laporan polis telah dibuat di KLIA, selain e-mel kepada pihak Saudi Airlines dan borang ‘lost and found’ turut dihantar.
- “Saya reda, tapi jujur rasa ralat tetap ada… mungkin bukan rezeki saya,” kata Nurliyana yang tetap tenang walau kerugian besar.
Ditanya mengenai jumlah kerugian dan berat emas hilang, Nurliyana menganggarkan hampir RM180,000.
“Kalau ikut anggaran harga beli dulu, total nilai dalam bekas tu lebih kurang RM180,000. Ada barang yang saya beli RM28,000, satu lagi RM36,000, yang baru beli pula RM36,000.
"Harga emas sekarang pun lebih RM500 segram. Tapi saya kira ikut harga beli, bukan harga semasa," katanya.
Kehilangan barangan kemas disedari selepas Nurliyana tiba di rumah.
Selepas menyedari kehilangan, Nurliyana segera membuat laporan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan telah menghantar e-mel kepada pihak Saudi Airlines, termasuk mengisi borang lost and found.
“Saya tak menangis pun. Tapi rasa ralat tu ada. Ralat sebab saya sendiri letakkan dalam beg check-in. Kalau saya hand carry macam biasa, mungkin tak jadi macam ni. Tapi saya reda. Mungkin bukan rezeki saya.
“Saya tahu kemungkinan nak dapat balik barang tu sangat tipis. Tapi manalah tahu kalau ada rezeki dari arah yang tak disangka,” katanya.