SEORANG penghantar hadiah kejutan (surprise delivery) mendakwa dia terpalit dalam siasatan polis selepas tanpa sedar menghantar pasport yang sebelum ini dilaporkan hilang oleh seorang wanita.
Individu yang dikenali sebagai Azie itu memaklumkan, sepanjang tujuh tahun bergiat dalam bidang tersebut, inilah kali pertama dia dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memberi keterangan.
Azie memaklumkan dalam kejadian 17 September itu, seorang lelaki meminta khidmatnya untuk menghantar barang beserta sejambak bunga kepada penerima wanita.
Azie menjalankan perniagaan dan perkhidmatan penghantar hadiah kejutan sejak tujuh tahun lalu.
"Esoknya Azie hantar kepada penerima tu dan dia pun dah buka. Kemudian penerima WhatsApp Azie, dia bagi tahu inilah barang yang dia nak, yang dia report hilang iaitu pasport.
"Katanya selepas dia buat laporan polis, orang yang disyaki sudah ditangkap tapi tak dia mengaku. Rupanya dipulangkan balik melalui surprise delivery saya,” katanya menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video].
ARTIKEL BERKAITAN: “Kerja rider je, nak buat suprise tapi jadi macam ni” - Peniaga buntu pelanggannya putus cinta, apa nasib kasut Nike mahal yang dibeli?
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menangis, anak kerja di warung, belajar setakat SPM hantar kejutan bunga duit selepas gigih menabung 2 tahun - “Ini yang saya mampu bagi mak”
Azie menjelaskan, wanita tersebut kemudian menghubunginya berulang kali hingga hampir sejam, sebelum dia mengambil keputusan untuk menyekat nombor berkenaan kerana merasakan ia di luar kawalannya.
Namun, pada malam berikutnya, Azie menerima panggilan daripada polis meminta hadir ke IPD untuk memberi keterangan berhubung penghantaran itu.
- Seorang penghantar hadiah kejutan dipanggil polis selepas tanpa sedar menghantar pasport yang dilaporkan hilang.
- Sepanjang tujuh tahun bekerja, ini kali pertama dia terpalit dengan kes melibatkan siasatan polis.
- Pasport itu dipercayai dipulangkan oleh suspek menggunakan khidmat surprise delivery.
- Azie merancang menetapkan syarat baharu agar semua barangan perlu diperiksa sebelum dihantar.
- Netizen anggap Azie bernasib baik kerana barangan tersebut bukan dadah atau barang terlarang.
“Tak pasal-pasal kena. Saya hanya orang tengah... cari makan, untung pun tak seberapa.
“Tapi inilah nasib, kali pertama kena macam ni,” katanya yang menjalankan perniagaan di Ulu Tiram, Johor.
Susulan itu, Azie berhasrat menetapkan syarat baharu bagi pelanggan yang mahu menggunakan khidmatnya iaitu semua barangan yang dihantar perlu diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Reaksi netizen.
Sementara itu, netizen menyatakan Azie bernasib baik kerana lelaki tersebut tidak meletakkan barangan terlarang seperti dadah.
"Nasib tak letak dadah dalam tu, kalau tidak lagi naya. Lepas ni kena lebih hati-hati.
"Pelanggan tu pun pandai ye nak pulangkan guna surprise delivery. Nasib baik dia tak letak barang lain," katanya.