SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila rumahnya didatangi sekumpulan individu yang mendakwa mereka adalah pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada awal pagi Selasa.
Menurutnya, kira-kira lapan lelaki Melayu bersama seorang wanita bertudung merah menaiki sebuah van putih berhenti di hadapan rumahnya dan memperkenalkan diri kononnya daripada Jais.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan kerana ia berlaku pada sekitar pukul 1 pagi.
Wanita berkongsi tangkap layar CCTV menunjukkan sekumpulan individu mendakwa mereka JAIS.
“Mereka kata datang nak serahkan surat untuk seorang individu bernama Aiman. Tapi saya langsung tidak kenal siapa orang itu.
"Setahu saya Jais serbu untuk kes maksiat sebab pukul pagi” kongsi wanita berkenaan di Threads.
ARTIKEL BERKAITAN: Awas van putih! 2 pelajar berdepan detik cemas, nyaris diculik dekat tanah perkuburan
ARTIKEL BERKAITAN: Malas pergi mengaji, remaja perempuan dakwa diculik... Pandai reka cerita dilarikan naik van, mulut ditutup!
Dia kemudian bertanya kepada kumpulan berkenaan mengenai surat yang ingin dihantar, namun mereka tidak menjawab.
"Saya kata nak call polis baru mereka beredar. Sumpah seram, mengigil saya," katanya yang kemudian menghubungi polis.
- Seorang wanita cemas apabila rumahnya didatangi lapan lelaki dan seorang wanita bertudung merah menaiki van putih, mengaku sebagai pegawai JAIS jam 1 pagi.
- Mereka mendakwa mahu serahkan surat untuk individu bernama Aiman, namun mangsa tidak mengenali siapa orang itu.
- Mangsa hubungi polis dan JAIS keesokan harinya, kedua-dua pihak sahkan tiada operasi dijalankan di kawasan terbabit.
- Seorang wanita lain dedah pernah alami kejadian sama dua tahun lalu, kononnya melibatkan waran tangkap atas nama Safwan.
- Insiden berulang menimbulkan persoalan mengenai identiti kumpulan tersebut dan penduduk minta siasatan lanjut dijalankan.
Wanita itu turut berhubung dengan Jais pada siang harinya bagi mendapatkan kepastian.
"Kata Jais kalau serbuan tangkap basah ke apa memang mereka akan datang dengan polis.
"Polis pula kata kalau ada sebarang serbuan mereka akan dimaklumkan tapi area rumah saya tiada sebarang kes," katanya.
Reaksi netizen
Sementara itu, seorang wanita di platform sama turut mengakui berdepan situasi yang sama dua tahun lalu, juga membabitkan kumpulan mendakwa diri daripada Jais.
“Suara mereka kuat, ketuk pintu macam nak roboh. Suami saya buka pintu, mereka kata datang dari Jais bawa surat waran tangkap atas nama seorang lelaki bernama Safwan. Tapi kami tak kenal siapa Safwan.
“Masa tu ada lebih kurang lapan lelaki dan seorang perempuan bertudung. Mereka siap minta suami saya keluarkan kad pengenalan. Kami betul-betul terkejut," katanya memaklumkan kejadian berlaku sekitar 12 tengah malam.