suria

[V] Pemuda insaf ambil dadah, mohon maaf dengan ibu gagal jadi anak baik - “Kena ingat, kita ada keturunan”

Tangkap layar video pemuda itu yang dikongsi oleh Puspen Kota Bharu.

VIDEO memaparkan seorang bekas penagih dadah yang kini sudah insaf meraih perhatian ramai di aplikasi TikTok.

Rakaman temubual pemuda itu [Tonton Video] dikongsi menerusi akaun TikTok Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu, Kelantan.

Paling menyentuh hati, dia yang mengaku terjebak dengan dadah sejak sekolah menengah memohon maaf kepada ibunya kerana gagal menjadi anak yang baik.

Pemuda ini menzahirkan harapannya untuk berubah dan menjadi manusia yang lebih baik.

"Saya nak minta maaflah kalau dia tengok video ini. Saya nak cakap, ma (panggilan untuk ibu), saya nak minta maaf atas kesilapan dulu.

"Sekarang saya dah berubah, dah tiada perasaan marah semua tu. Saya janji dah tak buat lepas ni," ujar pemuda berkenaan dalam loghat Kelantan.

Menerusi video itu, dia mengaku pernah mengambil dadah jenis pil kuda dan syabu.

  • Seorang pemuda dedah dia ambil dadah sejak zaman sekolah.
  • Pengaruh dadah menyebabkan dia sering bergaduh dengan ibunya.
  • Pemuda itu kini sedang menjalani pemulihan dan nekad mahu berubah.
  • Dia turut memohon maaf kepada ibunya dalam video temubual yang dikongsi Puspen.

Dia juga mendedahkan sering bergaduh dengan ibunya hampir setiap hari ketika diri dipengaruhi bahan terlarang itu.

"Ibu tahu (hisap dadah) selepas nampak saya pelik, tak tidur malam dan lambat pergi sekolah. Syabu lagi kuat daripada pil kuda, kadang-kadang saya campur.

"Boleh dikatakan hari-hari lawan mulut (dengan ibu). Saya jadi agresif sebab tak tidur beberapa hari. Dua hari saja saya tidur, lima hari tak tidur," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan dadah, suami pengasuh berhalusinasi! Wanita nekad tak hantar anak - “Kalau dia selam ‘baby’ dalam baldi macam mana?”

ARTIKEL BERKAITAN: Abang 9 kali keluar masuk penjara sebab dadah, keluarga sibuk carikan jodoh... Percaya mampu berubah kalau dah beristeri

Menurut pemuda itu lagi, dia mahu berubah dan mencari kerja yang baik selepas keluar dari Puspen kelak.

"Selepas keluar (Puspen), Insya-Allah saya akan buat kerja yang baik-baik dan tinggalkan benda buruk, yang boleh buat ma marah.

"Kita kena ingat, kita ada keturunan. Kita jual dadah kepada anak orang, tak mustahil orang pula akan ajar anak kita hisap dadah," ujarnya.

Dalam video temubual itu, dia dilihat sedang melakukan kerja baik pulih sebuah motosikal.

Ramai penagih terus bebas kerana keluarga tidak mahu membuat laporan polis ke atas mereka.

Rata-rata netizen di ruangan komen turut mendoakan pemuda itu agar dia dapat berubah dan menjalani kehidupan bebas najis dadah.

"Adik, semoga awak dapat tinggalkan masa lalu dan terus maju di masa depan ya.

"Berubahlah untuk sekarang dan selamanya. Terus pulih, sembahyang jangan tinggal," antara komen netizen.

Artikel Lain