suria

25 tahun berlalu, adik tak akan lupa jenayah tragis menimpa Noor Suzaily - "Saya ahli keluarga terakhir bertemu dia"

Noor Suzaily menjadi mangsa kekejaman pemandu bas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"AL-FATIHAH kak ngah, Noor Suzaily Mukthar. Walau sudah 25 tahun berlalu, rasanya seperti baru semalam."

Demikian luahan adik lelaki kepada Allahyarham Noor Suzaily Mukthar, yang meninggal dunia dalam tragedi menyayat hati pada 7 Oktober 2000.

Dalam kejadian itu, jurutera komputer tersebut dalam perjalanan menaiki bas persiaran ke tempat kerjanya di Klang, Selangor dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ibu bapa Suzaily ketika ditemui wartawan The Star di kediaman mereka di Kangar, Perlis pada 2000. -Foto Zainudin AhadIbu bapa Suzaily ketika ditemui wartawan The Star di kediaman mereka di Kangar, Perlis pada 2000. -Foto Zainudin Ahad

Ketika mangsa berseorangan, dia yang berusia 24 tahun pada waktu itu dirogol, diliwat dan dibunuh dalam bas, berdekatan Taman Chi Liung, Klang oleh pemandunya sendiri.

Menurut adik mangsa, arwah bukan sekadar seorang kakak, tetapi juga tempat bergantung dan sumber semangat ketika dia melalui detik sukar dalam pembelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi awal pagi... Wanita nak balik kampung dirogol dalam bas

ARTIKEL BERKAITAN: Cabul, rogol 4 remaja lelaki... Pemandu bas umur 78 tahun dipenjara

“Dia yang banyak bantu saya masa belajar. Saya pernah drop belajar sebab trauma dengan cara arwah pergi. 

"Tapi kerana amanat dia, saya bangkit semula. Mula dari bawah sampai ke tahap sekarang,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Lebih menyentuh hati, lelaki itu mendedahkan bahawa dia adalah ahli keluarga terakhir yang sempat bertemu arwah, sehari sebelum kejadian tragis itu.

“Apa yang dia pesan petang tu masih tak boleh saya lupa. Masih terngiang-ngiang sampai sekarang,” ujarnya.

  • Seorang adik lelaki meluahkan rasa rindu terhadap kakaknya, Allahyarham Noor Suzaily Mukthar, selepas 25 tahun tragedi menyayat hati yang meragut nyawanya pada 7 Oktober 2000.
  • Arwah, seorang jurutera komputer, dirogol, diliwat dan dibunuh ketika menaiki bas persiaran ke tempat kerja di Klang — antara kes jenayah paling tragis dalam negara.
  • Menurut lelaki itu, arwah banyak membantunya ketika belajar dan disebabkan arwah juga dia bangkit selepas alami trauma akibat kejadian itu.
  • Dia merupakan ahli keluarga terakhir yang bertemu arwah, sehari sebelum kejadian dan masih ingat pesanan terakhir kakaknya hingga kini.
  • Perkongsian kisah itu di media sosial mengundang rasa pilu dalam kalangan netizen, yang turut mengenang semula tragedi tragis tersebut.

Tambahnya, kakaknya itu sentiasa mengutamakan keluarga dan sering menghulurkan bantuan meskipun ketika itu kehidupannya serba sederhana.

“Setiap minggu dia akan bagi RM100. Itulah pemberian terakhir dia. Dia suka bagi tangan ke tangan sebab setiap kali hulur duit, dia akan pesan supaya saya terus fokus dan jangan putus asa,” katanya.

Bagi lelaki itu, 25 tahun bukan tempoh yang panjang untuk dia melupakan kasih seorang kakak yang banyak berkorban untuk dirinya dan keluarga.

“Dia satu-satunya kakak yang saya ada dan kini dia sudah kembali kepada Pencipta. Semoga arwah Kak Ngah tenang di sisi Allah bersama arwah ayah,” katanya.

Sementara itu, suspek utama kes berkenaan iaitu pemandu bas, Hanafi Mat Hassan ditahan polis di terminal bas Klang tiga hari selepas kejadian berlaku.

Hanafi didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas dakwaan rogol dan bunuh Noor pada 1 November 2000 dan pada subuh 19 Disember 2008, Hanafi digantung hingga mati di Penjara Kajang pada usia 42 tahun.

 

Reaksi netizenReaksi netizen

Perkongsian itu mengundang rasa pilu dalam kalangan netizen dan rata-rata mengakui kejadian menimpa Noor Suzaily sentiasa terpahat dalam ingatan masing-masing.

"Kisah arwah tak kan pernah saya lupa sampai bila-bila walaupun masa tu saya masih awal remaja.

"Masih segar ingatan saya kisah Suzaily. Saya ikut trauma sebab ada anak perempuan. Rasa macam baru semalam tragedi ni.

"Saya baru sembilan tahun masa tu. Walaupun masih kecil tapi saya dah boleh faham apa yang berlaku. Sungguh sedih," antara komen netizen.

 

Artikel Lain