HUJAN lebat bukan alasan bagi seorang pekerja servis penghantaran atau atau rider untuk culas menjalankan tanggungjawabnya, malah tindakannya mengutamakan pelanggan pastinya membuatkan ramai tersentuh.
Begitulah kisah menyentuh hati dikongsi seorang wanita dalam satu hantaran Threads tentang pengalamannya ketika membuat pesanan makanan pada hari hujan.
Menurutnya, ketika menyedari hujan turun dengan lebat di kawasan rumah, dia segera menghubungi rider berkenaan untuk menasihati agar berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.
Pelbagai jenis halangan perlu ditempuh dalam usaha menghantar makanan bagi seorang rider. -Gambar hiasan
"Rider GrabFood hantar makanan dalam hujan lebat. Saya hantar mesej dekat rider tu cakap tak mengapa lambat (hantar makanan) sebab dekat rumah tengah hujan lebat.
"Bawa motor elok-elok. Kalau perlu berhenti untuk berteduh, silakan. Tak sampai 20 minit, rider tu sampai. Saya kata padanya... ya Allah dik, kenapa tak berteduh dekat mana-mana dulu?
"Kemudian dia cakap... saya takut akak lapar sebab dah lambat sangat. Tapi saya sedih sebab nyawa dia lagi berharga daripada makanan yang dia hantar," ujar wanita itu dalam hantaran tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Rider betul-betul ikut arahan, hantar 'order' kepada pokok tepi jalan! Pelanggan salah 'pin' lokasi sayu lihat makanan terbazir
ARTIKEL BERKAITAN: Bangga anak kerja luar negara, makcik perlekeh ‘rider’ tiada pelajaran - “Tapi saya jumpa mak setiap hari”
Tersentuh dengan keikhlasan anak muda tersebut dalam menjalankan tugasnya, pengadu kemudian berhasrat untuk menghulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan.
"Saya minta nombor akaun bank atau imbasan QR, tapi dia tak nak bagi. Tapi saya tetap nak bagi dan cakap nanti mesej saya dan bagi nombor akaun bank.
"Saya cakap dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Salah seorangnya adalah dia. Terus dia berdoa untuk saya," ujar wanita itu lagi.
- Wanita tersentuh rider tetap hantar makanan dalam hujan lebat.
- Rider jelaskan dia takut pelanggan lapar sebab tunggu lama.
- Pengadu berkeras nak bagi tip walau rider pada awalnya menolak.
- Ramai puji semangat serta keikhlasan penghantar makanan.
- Netizen kongsi pengalaman sama, simpati dengan pengorbanan rider kerja dalam hujan.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang rata-rata turut meluahkan rasa simpati dan kagum dengan semangat para rider yang tetap berkhidmat meskipun dalam keadaan cuaca buruk.
"Saya pun kalau terbuat pembelian masa hujan mesti akan pesan kepada rider supaya tak perlu terburu-buru. Saya beritahu tak lapar lagi. Padahal perut sudah berbunyi.
"Kadang saya suruh mereka jangan hantar dulu kalau hujan. Tapi mereka akan hantar juga. Saya rasa bersalah pula sebab hujan.
Antara komen netizen pada hantaran asal.
"Tapi ada rider memang spesis hujan renyai pun tak boleh kena air. Tak tahu macam mana cara rider tu berfikir pasal pelanggan dia tu," ujar beberapa netizen.
Dalam pada itu, ada juga yang turut berkongsi pengalaman sudut pandang sebagai rider ketika menjalankan tugas.
"Aku sebagai rider pun macam tu juga (tetap hantar makanan). Kalau saya tak hantar, makanan akan sejuk. Kasihan dekat pelanggan tunggu lama. Baik saya hantar dulu baru berehat," katanya.