ENAM tahun berkhidmat sebagai pramugara, juara Big Stage Alpha (BSA) iaitu Ariel Fesol nekad untuk berhenti daripada karier berkenaan demi mengejar cita-cita menjadi penyanyi profesional sepenuh masa.
Bukan tidak bersyukur dengan pekerjaan tersebut, sebaliknya kata Ariel atau Muhammad Fhazrill Fesol, 27, dia mahu mencari pendapatan dengan melakukan perkara yang paling diminati iaitu menyanyi.
“Sejujurnya selepas enam tahun, saya memang dah buat keputusan untuk tinggalkan karier sebagai pramugara.
Ariel diumumkan sebagai juara Big Stage Alpha.
“Saya memang nak terus kejar impian untuk kecapi lebih banyak kejayaan dalam bidang muzik.
“Bukan tak bersyukur tapi saya nak buat kerja yang saya suka,” katanya kepada mStar.
Ariel berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tamat konsert akhir BSA yang diadakan di Royale Teater Shah Alam, Selangor pada malam Ahad.
Dalam pada itu, Ariel bersyukur apabila ahli keluarga tidak pernah menghalang setiap keputusan yang ingin dibuatnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ariel Fesol juara Big Stage Alpha, 7 finalis jadi ‘boy group’ baharu... Bakal tampil di konsert Hael Husaini
ARTIKEL BERKAITAN: Syafinaz minta tiada penyingkiran, Ariel Fesol mara ke minggu ke-4 Big Stage Alpha
“Alhamdulillah keluarga tak halang apa-apa keputusan yang saya lakukan termasuk nak berhenti jadi pramugara. Mereka cuma mahukan yang terbaik sahaja buat saya,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan masa depan dengan duit kemenangan diperoleh, Ariel berkata, dia belum terfikir untuk melakukan apa-apa dengan habuan berkenaan.
Bagaimanapun kata Ariel dia ada memasang hasrat untuk ke Makkah bila tiba masa yang sesuai.
“Tak terfikir lagi nak buat apa dengan duit kemenangan sebangak RM30,000 itu.
Alpha dibarisi tujuh orang ahli yang merupakan finalis Big Stage Alpha.
“Cumanya saya ada tanam impian untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah,” jelasnya.
Pada malam Ahad, Ariel diumumkan sebagai juara BSA selepas menewaskan enam finalis lain.
Ketujuh-tujuh finalis dipilih menjadi ‘boy group’ baharu yang diberi nama Alpha.
Kumpulan Alpha ini turut melancarkan single baharu mereka berjudul Mona Lisa pada penghujung acara.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube