DUA tahun tersimpan, penyanyi Shiha Zikir akhirnya mendapat kekuatan untuk mengeluarkan lagu baharu berjudul Renjana yang mula dilancarkan sejak Jumaat.
Membawa kisah yang cukup dekat dengan dirinya, Shiha atau Nurshiha Mohad Zikir, 37, bimbang dia gagal mengawal emosi setiap kali menyanyikan lagu ini di hadapan peminat.
Bahkan dia sendiri akan menangis apabila menyanyikan karya yang mengisahkan perjalanan hidup bersama arwah bapanya, Mohd Zikir.
Mat Over dikatakan mirip dengan arwah bapanya.
"Lagu ini saya ambil masa dua tahun juga untuk keluarkan sebab tidak bersedia. Apabila menyanyi lagu ini di rumah saya akan menangis.
"Saya tulis lagu ini sendiri dan betul-betul keluar dari hati. Sebab itu tak yakin nak buat promosi, bimbang terbawa-bawa emosi sampai susah nak menyanyi.
"Jadi memang ambil masa lama untuk keluarkan lagu ini," katanya ketika dihubungi mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Shiha Zikir gugur bertemu Mat Over, wajahnya mirip dengan arwah bapa
ARTIKEL BERKAITAN: Shiha Zikir rahsiakan dulu kunjungan ke studio Qarma, kongsi perbualan dengan Malique
Shiha juga memilih tarikh pelancaran 13 Jun sempena memperingati 17 tahun pemergian ayahnya yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Bukan sekadar berkongsi kisah peribadi, dia juga berharap karya ini sebagai tanda ingatan terhadap pengorbanan insan-insan lain yang disayangai.
"Waktu nak lancarkan lagu ini memang ramai yang sarankan dibuat sempena Hari Bapa. Tapi saya anjak awal kerana nak ikut hari arwah ayah meninggal dunia.
"Secara tak langsung 15 Jun pula hari bapa, jadi saya harap lagu ini akan ingatkan orang tentang pengorbanan bukan saja ayah, ibu dan orang yang mereka sayang," kongsinya.
Antara babak menyetuh hati dalam muzik video Renjana.
Sejak lagu dilancarkan, Shiha meluahkan rasa terharu apabila menerima pelbagai respons positif dalam kalangan pendengar dan rakan terdekat.
Malah dia juga mengakui sentiasa memegang pesanan arwah ayahnya untuk terus melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.
"Saya terharu sangat dan gembira, puas rasanya. Ada juga kenalan saya yang mengadu dia menangis mendengar lagu ini kerana mengingatkan kepada ibu bapa mereka.
"Ada yang sudah lama tidak berhubung bila dengar lagu ini terbuka hati untuk berhubung," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube