suria

Anak Raja Ema hidap gastroparesis, berjuang makan sampai 3 jam untuk setiap hidangan... Berat badan hilang 40 kg

Sudah tiga tahun Ammar menghidap penyakit gastroparesis.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Itulah ujian yang dialami anak sulung kepada penyanyi Raja Ema iaitu Putera Ammar yang disahkan menghidap gastroparesis sehingga berat badannya turun mendadak. 

Raja Ema atau nama sebenarnya Raja Ema Raja Ibrahim, 56, berkata, Ammar yang dahulunya  kuat makan hingga berat badannya pernah mencecah 90 kilogram (kg), kini hanya 50kg akibat penderitaan yang dialaminya sejak hampir tiga tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Ammar juga terpaksa berjuang menghabiskan makanan selama lebih tiga jam dalam satu masa.

Ammar (kiri) sudah hilang 40 kilogram sejak hidap penyakit gastroparesis.

“Bayangkan seorang anak yang suka makan, tiba-tiba kini terpaksa berjuang untuk menghabiskan makanan. Hati ibu mana yang tidak sedih melihat anak sendiri melalui penderitaan seperti ini.

“Kalau saya bawa dia keluar, saya jadi serba salah nak mencari makanan yang sedap. Sejak disahkan menghidap gastroparesis, banyak jenis makanan yang tidak boleh dinikmati sehingga kini.

“Pernah sekali dia mengadu perutnya sakit kerana terlepas waktu makan malam gara-gara tertidur akibat terlalu penat menghabiskan makanan tengah hari yang mengambil masa selama enam jam.

“Alhamdulillah, sekarang dia sudah terbiasa dengan cara pemakanan dan diet yang perlu diikuti. Keadaan kesihatannya juga semakin baik, cuma dia masih perlu bergantung kepada ubat-ubatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Ema dedah anak-anak tak pernah kenal ayah mereka, tiada panggilan dari keluarga Sheqal

ARTIKEL BERKAITAN: Budak muda berani hantar mesej nakal kepada Raja Ema, selesa hidup sendiri selepas 24 tahun cerai

Disebabkan penyakit yang dialami, Raja Ema memaklumkan Ammar turut mengalami kebimbangan melampau (anxiety).

Menurutnya, Ammar yang kini menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) disarankan menjalani pembedahan, namun dia masih dalam proses memujuk anaknya.

“Kalau boleh, saya tidak mahu dia terlalu bergantung dengan ubat. Doktor ada mencadangkan Ammar menjalani pembedahan pada bahagian perut antara usus besar dan kecil. Doktor beritahu otot perutnya masih boleh berfungsi tetapi perlahan.

Sudah tiga tahun Ammar derita dengan penyakit gastroparesis.

“Jadi saya sedang memujuknya untuk bersetuju menjalani pembedahan ini kerana bimbang keadaan kesihatannya akan bertambah buruk pada masa akan datang.

“Masalah di dalam perut ini agak sukar untuk pulih sepenuhnya dan boleh menjadi kronik. Saya hanya berharap dia terus kuat menghadapi ujian ini dan kembali sihat seperti sediakala,” katanya.

Untuk info, gastroparesis adalah satu keadaan di mana pergerakan atau pengecutan otot-otot perut menjadi perlahan atau tidak berfungsi dengan baik

Ini menyebabkan makanan di dalam perut mengambil masa yang lebih lama untuk dicerna dan bergerak ke usus kecil.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain