suria

Mangsa minta dibicarakan melalui pautan video, Naim Daniel buat permohonan bantahan

Naim Daniel kelihatan tenang sewaktu hadir ke prosiding kes perbicaraanya.

MAHKAMAH Sesyen Putrajaya menetapkan 15,16 dan 18 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan kes membabitkan penyanyi Naim Daniel yang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Menurut peguam yang mewakili Naim, Mohd. Irwan Sumadi pihak pendakwaan mengemukakan permohonan agar mangsa memberi keterangan secara dalam talian selain beberapa permohonan lain sewaktu prosiding yang berlangsung pada pagi Jumaat. 

“Justeru mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 15, 16 dan 18 Disember depan. Sebentar tadi pihak pendakwaan membuat satu permohonan iaitu memohon supaya mangsa dibicarakan secara pautan video dan ada beberapa lagi permohonan,” katanya kepada mStar. 

Naim ketika ditemui media selepas perbicaraannya. 

Dalam pada itu, mahkamah  turut menetapkan 17 Oktober ini untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sama ada menyokong atau membantah permohonan tersebut.

“Tetapi bagi pihak pembelaan, kami telah membuat permohonan secara rasmi yang mana mahkamah telah menetapkan satu tarikh hujah iaitu pada 17 Oktober. 

“Maksudnya untuk pihak-pihak berhujah sama ada untuk membantah permohonan tersebut di pihak pendakwaan. 

“Disebabkan sewaktu perbicaraan nanti mangsa bukan lagi berumur bawah 18 tahun, jadi perlu dibicarakan secara normal,” ujarnya. 

ARIKEL BERKAITAN: Naim Daniel tiba awal di mahkamah, pukul 7.30 pagi dah sampai

ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel selesai urusan serahan dokumen, kes amang seksual disebut semula 19 September

Sementara itu, peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif yang turut mewakili Naim berkata, mereka bagaimanapun menanti keputusan selanjutnya kerana ia tertakluk kepada keputusan Hakim pada 17 Oktober ini. 

“Hakim boleh benarkan bantahan kami atau menolak. Secara keseluruhan, isu yang penting sekarang pihak kami sudah boleh buat persiapan untuk perbicaraan nanti," katanya. 

Pada 18 Ogos lalu, Naim ditemani peguam untuk menyerahkan dokumen bagi tujuan pembelaan. 

Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Naim didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja 17 tahun. 

Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M Kunasundary atas pertuduhan tersebut.

Kes berkenaan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport ditahan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain