suria

Miley Cyrus luah rasa sedih, dedah punca dilarang nyanyi lagu sitkom ‘Hannah Montana’

Hannah Montana lojakkan nama Miley dalam dunia seni.

PENYANYI Miley Cyrus akhirnya mendedahkan punca sebenar dia sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu popular dari sitkom Hannah Montana.

Miley, 32, berkata dia dilarang secara rasmi daripada mempersembahkan sebarang lagu atau watak berkaitan Hannah Montana sebaik sahaja menamatkan penglibatannya bersama Disney pada 2011.

"Selepas saya meninggalkan Disney, saya tidak dibenarkan mempersembahankan mana-mana muzik Hannah Montana. Perkara itu bukan kemahuan saya," katanya.

Antara babak di dalam sitkom Hannah Montana.

Miley berkongsi perkara itu ketika menjadi tetamu di podcast The Ringer Spotify.

Berkongsi lebih lanjut, Miley mengakui terkilan dan bersedih dengan larangan yang dikenakan ke atasnya memandangkan karya tersebut menjadi tular kerana bakat yang dimiliki. 

Menurutnya, lagu-lagu seperti The Best Of Both Worlds, We Can't Stop, The Climb  dan Wrecking Ball sering kali menjadi permintaan peminat. 

"Saya masih bersedih mengenangkan lagu-lagu itu mempunyai suara dan wajah saya. Tapi saya tidak dibenarkan menyanyikan," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa tiru Bruno Mars, Miley Cyrus berdepan tindakan saman

ARTIKEL BERKAITAN: Rampas kekasih anak sendiri, ibu Miley Cyrus upah pengawal bimbang majlis kahwin diceroboh

Larangan tersebut dipercayai berkait dengan isu hak cipta dan perjanjian kontrak yang termeterai ketika dia masih berada di bawah naungan Disney Channel.

Walau bagaimanapun, perasaan terluka itu kini terubat apabila dia kembali dibenarkan untuk menyanyikan lagu-lagu dari sitkom berkenaan selepas dilantik sebagai Lagenda Disney pada tahun 2024. 

Penghargaan tersebut secara rasmi memberikan semula hak untuk menyanyikan lagu-lagu Hannah Montana, sama ada dalam konsert, rancangan televisyen, atau platform digital.

Miley kini boleh tunaikan permintaan peminat.

"Selepas dilantik saya dibenarkan membuat persembahan dengan lagu-lagu itu! Rasanya cukup hebat," kongsinya.

Sitkom Hannah Montana yang bersiaran dari 2006 hingga 2011 merupakan antara platform terbesar yang melonjakkan nama Miley dalam industri hiburan.

Siri itu bukan sahaja mencipta fenomena dalam kalangan remaja, malah menjadikan Miley ikon budaya pop yang berjaya bermula dari dunia kanak-kanak ke arus perdana industri muzik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain