PENEMUAN mayat seorang remaja perempuan dalam sebuah kereta Tesla milik penyanyi rap, D4vd di kawasan Hollywood mengejutkan ramai apabila mangsa dipercayai bekas kekasihnya.
Siasatan awal mendapati mayat ditemui dalam keadaan reput itu ialah Celeste Rivas, 15, yang dilaporkan hilang lebih setahun lalu.
Celeste dilaporkan memiliki tatu bertulis ‘Shhh…’ pada jari telunjuk kanan sama seperti tatu yang kelihatan pada jari D4vd sekitar September 2024.
Menurut sumber TMZ, tiada tatu seumpama itu dilihat pada D4vd antara April hingga awal Ogos pada tahun sama.
Tatu di jari D4vd menjadi tanya kerana mempunyai persamaan dengan tatu milik mangsa.
Ibu mangsa turut mengesahkan bahawa tatu anaknya itu dibuat menggunakan dakwat merah dan merupakan tanda pengenalan diri yang unik.
Walaupun tatu tulisan ‘Shhh…’ bukan sesuatu yang luar biasa dan pernah menjadi trend selepas dipopularkan oleh Rihanna pada tahun 2008 serta turut dimiliki selebriti lain seperti Lindsay Lohan dan Lily Allen, namun persamaan antara tatu mangsa dan penyanyi berkenaan mencetuskan spekulasi hebat.
Bahagian Siasatan Rompakan dan Pembunuhan LAPD kini sedang menjalankan siasatan terperinci dan telah menghubungi keluarga mangsa.
Namun, sehingga kini, polis belum menamakan sebarang suspek rasmi, dan identiti individu yang memandu Tesla tersebut sebelum ditinggalkan pada 5 September 2024 masih belum dikenal pasti.
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk hidu bau busuk, polis temui mayat reput dalam Tesla milik penyanyi
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi wanita meninggal dunia, ditemukan kaku tidak bernyawa
Pihak berkuasa juga mengesahkan bahawa kereta tersebut tidak dilaporkan sebagai dicuri sekali gus menambahkan lagi misteri mengenai bagaimana mayat Celeste boleh berada di dalam kenderaan tersebut.
Dalam kenyataan ringkas, wakil kepada D4vd memaklumkan bahawa mereka tidak akan mengulas mengenai insiden tersebut kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang berlangsung.
Pada April tahun lalu, Celeste dilaporkan hilang dan ibunya mendakwa anak perempuannya itu pernah lari dari rumah kemudian pulang semula namun sekali lagi melarikan diri.
D4vd dipercayai menjadi dalang kematian Celeste.
Sejak laporan terakhir pada Mei 2024, tiada lagi khabar berita dari Celeste.
Pada September lalu, polis menemui satu satu mayat reput di dalam sebuah kereta jenis Tesla yang dipercayai milik penyanyi D4vd.
Mayat berkenaan ditemui dibalut di dalam beg dan diletakkan di bonet hadapan kenderaan tersebut.
Hasil siasatan awal mendapati, kereta berkenaan berdaftar atas nama David Anthony Burke, 20, atau lebih dikenali sebagai D4vd yang berasal dari Hempstead, Texas.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube