suria

Pelakon terkenal rugi jutaan ringgit, ditipu ahli perniagaan Malaysia

Pelakon ini berubah sikap selepas berdepan kekecewaan dalam hubungan cinta.

BEKAS pelakon terkenal Hong Kong, Maggie Cheung memilih untuk menjauhkan diri daripada dunia glamor bagi memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi.

Pada usia 60 tahun, bintang filem era 1980-an dan 1990-an itu masih memiliki pengaruh besar apabila berjaya meraih ratusan ribu pengikut hanya dalam beberapa hari selepas membuat penampilan sulung di platform media sosial Xiaohongshu bulan lalu.

Baru-baru ini, pengarah terkenal Wong Jing, 70, mendedahkan sisi peribadi  Maggie ketika ditemu bual dalam sebuah program bual bicara dalam talian.

Menurut Wong, Maggie pada asalnya seorang wanita periang dan mudah ketawa namun sikap itu berubah selepas berdepan kekecewaan dalam hubungan cinta.

Wong menceritakan kisah sedih yang dialami Maggie. 

“Disebabkan beberapa hubungan tidak berjalan lancar, dia mula menjauhkan diri dan tidak lagi seceria dahulu,” katanya.

Wong turut menceritakan beberapa kisah cinta lampau Maggie termasuk bersama seorang pendandan rambut dari Korea serta jejaka warga Amerika.

Namun, hubungan paling mengecewakan menurut Wong adalah bersama seorang ahli perniagaan hartanah dari Malaysia yang didakwa menipu wang simpanannya dalam jumlah besar.

“Ada seorang lelaki Malaysia yang kaki tipu, dia ambil duit Maggie. Walaupun dia tidak gembira dalam sesuatu hubungan, dia tetap cuba sesuaikan diri,” katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon hidup melarat selepas cerai, anak-anak pula sekat nombor di WhatsApp

ARTIKEL BERKAITAN: Tekanan darah tinggi Aaron Aziz mencanak naik, ditipu agensi umrah RM90,000

Laporan media menyebut Maggie sanggup melabur puluhan juta bagi membantu perniagaan bekas kekasihnya itu yang dikatakan berdepan masalah kewangan.

Namun, projek yang disokong Maggie gagal sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian semua wang yang dilaburkan. 

Sepanjang karier, Maggie dikenali menerusi filem popular termasuk Police Story (1985), As Tears Go By (1988), In The Mood For Love (2000), Hero (2002) dan banyak lagi.

Untuk rekod, Maggie pernah berkahwin dengan pengarah Perancis, Olivier Assayas pada 1998 namun bercerai tiga tahun kemudian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain