PELAKON Tom Holland terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aksi lagak ngeri di set penggambaran filem Spider-Man: Brand New Day pada Jumaat lalu.
Holland, 29, dipercayai terjatuh sehingga menyebabkan kepalanya terhentak ketika penggambaran di Leavesden Studios, Watford.
Produksi filem Marvel bernilai 150 juta euro (RM850 juta) itu yang juga edisi keempat Spider-Man lakonannya terpaksa dihentikan sementara selepas pelakon utama berkenaan dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan disahkan mengalami gegaran otak.
Tom bersama tunangnya, Zendaya.
Penggambaran kini difahamkan ditangguhkan beberapa minggu sehingga Holland pulih sepenuhnya.
Bapanya, Dominic turut mengesahkan keadaan itu ketika menghadiri sebuah majlis amal di Mayfair pada Ahad lalu turut memaklumkan anaknya akan berehat seketika daripada penggambaran.
Holland sebelum itu dilihat hadir bersama tunangnya yang juga pelakon, Zendaya, 28, pada acara berkenaan namun dilaporkan terpaksa meninggalkan majlis lebih awal selepas berasa tidak sihat.
Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Timur England dalam kenyataan kepada The Sun berkata mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 pagi Jumaat bagi merawat seorang pesakit yang cedera di Leavesden Studios.
ARTIKEL BERKAITAN: Tom Holland berhenti berlakon kalau bergelar bapa, luang masa jaga anak dan main golf
ARTIKEL BERKAITAN: Tak pandai mengeja, Tom Holland rupanya hidap ADHD dan disleksia
“Sebuah ambulans dihantar ke lokasi kejadian sebelum pesakit dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Awal tahun ini, Marvel mengumumkan tayangan Spider-Man 4 ditunda kepada 31 Julai 2026, namun jadual itu dijangka berubah sekali lagi susulan insiden berkenaan.
Dalam masa sama, Holland kini dikatakan turut sibuk dengan projek filem baharu bersama Zendaya menerusi The Odyssey, adaptasi epik karya Homer arahan Christopher Nolan.
Bulan lalu, Zendaya turut dilihat menemani Holland ketika penggambaran Spider-Man di Brookwood Cemetery, Surrey.
Pasangan itu mula menjalin hubungan ketika membintangi filem sulung Spider-Man: Homecoming pada 2016 sebelum hubungan mereka berkembang ke alam percintaan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube