PENYANYI rap P. Diddy dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun serta denda sebanyak AS$500,000 (RM2.35 juta) atas kesalahan membawa dua bekas teman wanitanya ke luar negeri untuk tujuan pelacuran.
Menurut laporan BBC, Hakim Persekutuan Arun Subramanian menyatakan bahawa Diddy atau Sean John Combs, 55, telah menyalahgunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai selebriti untuk memperhambakan dan mengawal dua bekas wanitanya iaitu Cassandra Ventura dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai “Jane”.
Sepanjang prosiding berlangsung, Diddy dilaporkan duduk tanpa memberi sebarang reaksi, tidak memandang ke arah hakim, tidak menunjukkan emosi dan hanya diam tertunduk.
Diddy hanya tertunduk saat hukuman dibacakan hakim.
Selepas tamat prosiding yang dilakukan selama hampir 20 minit itu, Diddy sempat berpaling ke arah penyokongnya yang memenuhi galeri awam mahkamah, terdiri daripada 30 orang termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan.
Menerusi gerakan bibir penyanyi berkenaan, Diddy seakan menyampaikan pesanan ringkas kepada keluarga dan rakan-rakan memohon maaf atas kesilapan dilakukannya.
"Saya sayang kamu, maafkan saya," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: P. Diddy didapati bersalah atas dua tuduhan pelacuran
ARTIKEL BERKAITAN: P. Diddy guna taktik baharu, dakwa terima makanan berulat... Hakim tolak rayuan bebas penjara
Pada Julai lalu, juri yang terdiri daripada 12 warga New York mendapati Diddy tidak bersalah atas tuduhan pemerdagangan seks dan kegiatan jenayah terancang yang boleh disabitkan hukuman penjara seumur hidup.
P. Diddy sebelum ini ditahan pihak polis di sebuah hotel di Manhattan, Amerika Syarikat pada 16 September 2024.
Mahkamah Persekutuan New York menolak permohonan ikat jamin terhadap Diddy sebaliknya memerintahkan penyanyi itu ditahan di penjara sementara menanti perbicaraan kes tersebut.
Susulan penahanan itu ramai golongan selebriti turut dikaitkan menjadi mangsa termasuk artis lelaki seperti Usher, Justin Bieber, Jaden Smith dan Meek Mill.
Diddy bagaimanapun tidak mengaku atas semua tuduhan dilemparkan kepadanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube