PELAKON Akshay Kumar mendedahkan anak perempuannya, Nitara Kumar,13, menjadi mangsa gangguan seksual ketika sedang bermain permainan video secara dalam talian beberapa bulan lalu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Akshay dalam satu majlis sempena Perasmian Bulan Kesedaran Siber yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Negeri di Mumbai, India.
Hindustan Times melaporkan, Nitara menerima mesej berunsur lucah daripada individu tidak dikenali yang meminta gambar bogel sewaktu sesi permainan tersebut.
Akshay (kiri) dan Twinkle tidak mengambil ringan atas apa yang menimpa anak perempuan mereka.
"Semasa dia (Nitara) bermain, masuk satu mesej bertanyakan kepada anak saya sama ada lelaki atau perempuan. Selepas anak saya menjawab, lelaki itu berkata 'boleh tak awak hantar gambar bogel?'.
"Anak saya terkejut terus berhenti bermain permainan video itu dan mengadu kepada isteri saya," katanya.
Dalam pada itu, Akshay meluahkan rasa syukur kerana Nitara bertindak pantas dengan memaklumkan kepada isterinya iaitu pelakon Twinkle Khanna.
ARTIKEL BERKAITAN: Akshay Kumar cari masa ‘me time’ bangun pukul 4 pagi, tenang isteri dan anak tidur
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi wanita jual gambar bogel, terdesak nak bayar hutang kad kredit
Namun, aktor berkenaan menekankan bahawa tidak semua kanak-kanak mampu mengendalikan situasi sebegitu dengan baik.
"Beginilah permulaan kepada jenayah siber. Saya mohon kepada Ketua Menteri supaya diadakan satu waktu khas setiap minggu di sekolah.
"Kelas khas ini bertujuan untuk mendidik pelajar tentang jenayah siber," ujarnya.
Untuk rekod, Akshay berkahwin dengan Twinkle pada 17 Januari 2001.
Selain Nitara, pasangan selebriti ini turut mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Aarav Kumar yang kini berusia 23 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube