suria

Bekas suami Sia tuntut nafkah RM1.2 juta sebulan, dedah punca pernah hidup mewah bersama

Sia (kiri) memfailkan cerai terhadap suami pada Mac lalu.

SUAMI kepada penyanyi terkenal Australia, Sia Furler iaitu Daniel Bernard dilaporkan menuntut lebih  $250,856 (RM1.2 juta) sebulan sebagai nafkah selepas pasangan itu berpisah pada Mei lalu. 

Menurut laporan TMZ, Bernad turut memohon agar penyanyi lagu Unstoppable itu membayar sekurang-kurangnya $300,000 (RM1.4 juta) untuk yuran guamannya, serta $200,000 (RM950,000) bagi kos audit forensik. 

Bernad mendakwa sepanjang perkahwinan yang berlangsung selama 26 bulan, mereka menjalani kehidupan mewah termasuk tinggal di sebuah kediaman  berkeluasan 9,500 kaki persegi di kawasan elit Toluca Lake, Los Angeles.

Daniel (kanan) menuntut nafkah pasangan terhadap Sia.

Menurutnya, kediaman itu diuruskan oleh 10 hingga 12 kakitangan tetap, termasuk butler, chef peribadi, penata gaya, dua tukang urut, pakar IT dan pembantu rumah dengan anggaran perbelanjaan bulanan mencecah antara $400,000 hingga $500,000 (RM1.9 juta hingga RM2.4 juta).

Memetik laporan dokumen mahkamah di Los Angeles yang diperoleh E News!, Bernad memaklumkan dia telah menganggur sejak 1 April lalu selepas Sia menghentikan semua pembiayaan terhadap usaha sama mereka menubuhkan Modern Medicine, termasuk gaji bulanannya.

Buat masa ini, satu-satunya sumber kewangan Bernad adalah bayaran bulanan daripada Sia yang ditetapkan melalui perintah terdahulu dan bayaran tersebut hanya mencukupi sehingga 1 Oktober 2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Sia dedah 3 tahun derita kemurungan, sukar terima hakikat selepas cerai

ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa minta duit nafkah daripada Ria Ricis, Teuku Ryan bagi amaran jangan burukkan namanya

Bernad menegaskan dia hanya mahu mahkamah meletakkan kedua-dua pihak di landasan yang sama dari segi keupayaan kewangan untuk berdepan dalam proses perundangan ini.

Pada Mac lalu, Sia dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya kerana perbezaan pendapat dan sudah tidak sehaluan lagi. 

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Somersault Wonder Bernard yang kini berusia 1 tahun. 

Sia memohon hak penjagaan fizikal dan undang-undang sepenuhnya ke atas anak mereka, tetapi bersetuju untuk memberikan hak lawatan kepada Daniel.

Ini merupakan perceraian kedua buat Sia selepas bercerai dengan Erik Lang pada tahun 2016. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain