DUNIA muzik rock kehilangan seorang lagi legenda apabila gitaris asal kumpulan Kiss iaitu Ace Frehley, disahkan meninggal dunia pada usia 74 tahun.
Menerusi laporan Rolling Stone, wakil Frehley, Lori Lousararian memaklumkan kematian bintang rock itu berpunca daripada insiden terjatuh di kediamannya.
"Kami amat sedih dan hancur hati dengan pemergian Frehley. Dalam saat-saat terakhirnya, dia dikelilingi oleh kasih sayang dan doa daripada orang tersayang.

Frehley meninggal dunia di kediamannya.
"Pemergian Frehley merupakan satu kehilangan yang sangat besar dan sukar untuk digambarkan. Segala pencapaiannya dalam dunia muzik akan terus dikenang sampai bila-bila," katanya.
Frehley merupakan antara pengasas kumpulan Kiss yang mula mencipta nama pada era 70-an dengan gaya persembahan yang luar biasa, lengkap dengan solekan wajah ikonik, kostum kulit perak hitam, dan aksi pentas yang sarat dengan piroteknik.
Kiss bukan sekadar pelopor aliran glam rock, malah dianggap sebagai antara pencetus awal genre heavy metal.
Antara lagu mereka yang masih menjadi siulan sehingga kini ialah 'Rock and Roll All Nite' dan album konsert popular 'Alive!' yang dilancarkan pada tahun 1975.
ARTIKEL BERKAITAN: Bintang legenda, Diane Keaton meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon lelaki meninggal dunia dalam tidur
Sepanjang kerjaya mereka, Kiss menghasilkan 26 album yang kesemuanya meraih status emas (jualan melebihi 500,000 unit di Amerika Syarikat), dengan 14 daripadanya menjadi platinum (jualan melebihi sejuta unit).
Namun, sebahagian pencapaian itu diperoleh selepas Frehley meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1982.
Setiap anggota Kiss mempunyai imej dan alter ego tersendiri dan Frehley dikenali sebagai "Spaceman", lengkap dengan solekan bintang pada wajahnya.

Frehley bersama ahli kumpulan Kiss.
Mendiang kekal bersama Kiss sepanjang era kegemilangan mereka di tahun 70-an, sebelum menyertai semula dalam konsert reunion pada 1990-an.
Selain bersama Kiss, Frehley turut berjaya sebagai artis solo dengan lagu hit 'New York Groove' pada tahun 1978.
Frehley atau nama sebenarnya Paul Daniel Frehley dilahirkan pada 27 April 1951 di kawasan Bronx, New York.
Mendiang meninggalkan seorang isteri, Jeanette dan anak perempuan, Monique.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


