KEKASIH kepada pelakon Ammar Zoni dikenali Dr Kamelia berkongsi prosedur untuk melawat aktor itu di salah satu penjara di Pulau Nusakambangan, Jawa Tengah, Indonesia bukan perkara mudah.
Memetik laporan Suara.Com, Ammar, 33, secara rasmi dipindahkan ke penjara paling ketat di republik itu pada Khamis selepas ditahan atas kesalahan mengedar dadah dalam tahanan.
Menurut Kamelia, pihak penjara menetapkan beberapa syarat apabila tahanan perlu berada sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dibenarkan menerima kunjungan keluarga atau orang terdekat.

Ammar ketika dibawa pindah ke penjara Nusakambangan.
"Saya sudah hubungi peguam Ammar, Om Jon. Katanya, di Nusakambangan banduan perlu menjalani tahanan tiga bulan dahulu baru boleh dilawat,” kongsinya.
Walaupun masih belum dapat melawat secara rasmi, Kamelia tetap merancang untuk menemani peguam sekiranya Ammar perlu hadir ke mahkamah dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Kamelia mendedahkan dia bersama ahli keluarga Ammar sedang berusaha agar proses perbicaraan dapat dijalankan secara bersemuka berbanding dalam talian.
Malah dia menegaskan akan terus berada di sisi kekasihnya itu untuk memberi sokongan moral sepanjang berdepan kes mahkamah.
ARTIKEL BERKAITAN: Ammar Zoni dipindahkan ke penjara Nusakambangan, Ustaz Derry mohon bantuan Hotman Paris
ARTIKEL BERKAITAN: Sudah miliki RM128,000, rakan baik nafi Ammar Zoni terlibat dadah kerana masalah kewangan... Kecewa masih ulang kesalahan sama
"Saya hanya boleh berikan kekuatan kepadanya. Saya selalu pesan agar dia sabar kerana semua akan selesai. Selagi tidak bersalah, jangan takut,” katanya
Ini merupakan kali keempat Ammar Zoni terlibat dalam kes berkaitan penyalahgunaan dadah sejak tahun 2017.
Pada Mac 2023, dia ditahan buat kali kedua dan dibebaskan pada Oktober tahun yang sama.
Namun, tidak lama kemudian, Ammar kembali dipenjara selepas ditahan sekali lagi pada 12 Disember 2023.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


