PEMAIN bes dan pengasas kumpulan Limp Bizkit, Sam Rivers meninggal dunia pada usia 48 tahun.
Berita duka itu disahkan menerusi hantaran media sosial rasmi kumpulan berkenaan yang menggambarkan Rivers bukan sekadar pemain bes mereka, tetapi merupakan jiwa di sebalik bunyi kumpulan tersebut.
"Hari ini kami kehilangan saudara, rakan sekumpulan dan nadi kami.

Pemergian Rivers satu kehilangan besar buat Limp Bizkit.
"Sejak nota pertama yang kami mainkan bersama, Sam membawa cahaya dan rentak yang tidak mungkin diganti. Bakatnya mengalir tanpa usaha, kehadirannya sukar dilupakan, dan hatinya amat besar.
"Kami telah berkongsi begitu banyak detik yang 'liar' tenang dan indah. Setiap detik lebih bermakna kerana Sam ada bersama kami," tulis kenyataan itu.
Pun begitu, punca kematian Rivers tidak didedahkan setakat ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas gitaris KISS, Ace Frehley meninggal dunia pada usia 74 tahun
ARTIKEL BERKAITAN: Bintang legenda, Diane Keaton meninggal dunia
Pada 2015, Rivers dilaporkan meninggalkan kumpulan itu akibat masalah kesihatan hati kerana ketagihan alkohol sejak zaman persekolahan.
Untuk rekod, Limp Bizkit ditubuhkan pada tahun 1994 dan dianggotai oleh Fred Durst, John Otto, DJ Lethal, Wes Borland dan Rivers sendiri.
Tiga tahun kemudian, mendiang kembali menyertai Limp Bizkit selepas pulih sepenuhnya setelah menjalani pembedahan hati.
Gaya muzik mereka yang menggabungkan elemen hip-hop dan rock bersama lirik yang lantang menjadikan mereka antara suara utama dalam landskap muzik akhir 1990-an, sekaligus membantu membawa genre muzik berat ke arus perdana.
Antara album mereka yang mencatat kejayaan besar termasuk Significant Other dan Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water, selain lagu popular seperti Take a Look Around dan Rollin' (Air Raid Vehicle).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


