suria

Selepas bergelar janda, Acha Septriasa pilih tinggal di Australia

Acha Septriasa pilih menetap di Australia.

PELAKON Acha Septriasa memilih untuk menetap di Australia selepas bercerai dengan suaminya, Vicky Kharisma pada Mei lalu.

Menurut Acha atau Jelita Septriasa, 36, keputusan itu dibuat demi menjamin masa depan anak perempuannya iaitu Bridgia.

“Anak saya bersekolah di sana, jadi saya memang memilih untuk kekal di Australia bagi menyokong pendidikannya,” katanya.

Acha dan anaknya pilih menetap terus di Australia.

Acha turut memaklumkan dia sudah membeli rumah di kawasan yang mempunyai sekolah berkualiti tinggi di Australia.

“Saya sudah siapkan semuanya supaya dia boleh bersekolah di sana sehingga ke peringkat menengah. 

“Rumah yang saya beli juga terletak di kawasan yang mempunyai sekolah terbaik,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Acha Septriasa jawab dakwaan bekas suami culas nafkah, sama-sama bina hidup baharu lepas cerai

ARTIKEL BERKAITAN:  Acha Septriasa sah cerai sejak Mei

Pelakon filem Heart itu mengakui Australia mempunyai nilai sentimental yang tinggi dalam hidupnya. 

“ ‘Rumah’ saya memang di sana. Sebab di situlah saya pertama kali memiliki kediaman dan membina keluarga.

“Dah sepuluh tahun tinggal di sana, memang berat rasanya kalau nak tinggalkan begitu saja,” ujarnya.

Dalam masa sama, Acha juga ingin mengekalkan status penduduk tetap yang dimiliki sekali gus menguatkan keputusannya untuk terus berpusat di negara itu.

Sementara itu Acha menegaskan dia tetap aktif dalam industri hiburan dan akan berulang-alik dari Sydney ke Jakarta bagi menjalani  projek filem serta muzik yang sedang dirancang.

Untuk rekod, Acha dan Vicky berkahwin pada 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Bridgia Kalina Kharisma yang kini berusia lapan tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain