SELEPAS lebih lapan bulan menjalani proses perbicaraan, pelakon Nikita Mirzani akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun atas kesalahan pemerasan terhadap usahawan kecantikan, Reza Gladys.
Mahkamah Negeri Jakarta Selatan menetapkan keputusan tersebut pada Selasa, serta turut memerintahkan pelakon itu membayar denda sebanyak kira-kira RM254,000.
Dalam keputusan yang dibacakan, Nikita terbukti melakukan pemerasan melalui penyebaran maklumat elektronik dengan niat menguntungkan diri sendiri secara salah dan mencemarkan nama baik orang lain.

Nikita cuba bersalaman dengan hakim selepas keputusan dibacakan.
Biarpun berdepan hukuman penjara, dia bagaimanapun kelihatan tenang mendengar keputusan dan menerima segalanya dengan reda.
“Tiada apa yang harus ditangisi, tiada apa yang harus disesali.
Seharusnya hukuman lebih rendah kalau semua berjalan lancar. Tetapi tidak mengapa, itu semua keputusan hakim. Saya hargai keputusan hakim,” katanya ketika bertemu media.
Nikita turut mencuri tumpuan di mahkamah apabila dia terus berlari dan cuba bersalaman dengan hakim selepas keputusan dibacakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nikita Mirzani mengamuk tak mahu digari… “Saya enggan balik ke penjara untuk kes jenayah bodoh ini”
ARTIKEL BERKAITAN: Nikita Mirzani tak puas hati penyata akaun bank miliknya didedahkan di mahkamah
Namun, menerusi beberapa rakaman video yang tersebar, kelihatan hakim menolak untuk bersalaman dengannya.
Sementara itu, dalam kes sama, Nikita bagaimanapun terlepas daripada hukuman pengubahan wang haram seperti yang didakwa sebelum ini.
Menurut pertuduhan, dia menerima wang berkenaan sebagai syarat untuk menutup mulut selepas bercakap buruk tentang produk milik Reza.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


