PERSONALITI Azad Jasmin tidak menyangka menerima sokongan daripada pelbagai bangsa selepas dia dan dua lagi penyampai 3 Pagi Era terpalit kontroversi mempersenda agama lain.
Kata Azad atau Azad Jasmin John Louis Jeffri, 49, selepas insiden berkenaan berlaku pada Mac lalu, dia tidak pernah menerima sebarang gangguan sebaliknya mendapat sokongan daripada kawasan kejiranan.
“Nak kata takut keluar rumah, saya ini tinggal di kawasan Puchong. Kiri, kanan, depan, belakang semua jiran saya berbangsa India.
Dari kiri: Nabil, Radin dan Azad sebelum ini direhatkan daripada bertugas.
“Tapi Alhamdulillah saya tak menerima apa-apa ancaman. Mereka semua baik. Pada hari kejadian saya balik rumah mereka tanya apa sebenarnya yang berlaku.
“Mereka suruh saya tenang, ini semua perkara biasa permainan dunia katanya. Saya tak sangka mendapat sokongan seperti itu,” katanya kepada mStar.
Azad berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Kenduri Raya Era yang diadakan di Ruang Tamu Datin Halijah, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Ahmad ‘down’ direhatkan, pesanan ibu buat rasa tenang
ARTIKEL BERKAITAN: Azad Jazmin banyak diam sejak terpalit kontroversi, isteri minta jangan bersedih lama-lama
Dalam pada itu, rakan penyampai Nabil Ahmad turut meluahkan rasa terharu kerana tidak menyangka menerima sokongan daripada masyarakat India.
Kata Nabil, sokongan diterima membuatkan mereka sedar bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang terbuka memberikan sokongan meskipun berbeza agama dan bangsa.
“Netizen berbangsa India pun ramai yang DM, mereka cakap kesilapan kami lakukan itu adalah perkara diluar kawalan.
“Mereka sentiasa memberi kata-kata semangat dan tunjukkan sokongan. Ada yang sanggup buat video semata-mata untuk bagi sokongan kepada kami sampai bangsa mereka sendiri kecam mereka.
“Saya sangat hargai sokongan mereka kerana inilah yang kami nampak bahawa ramai lagi rakyat Malaysia yang baik hati dan saling membantu tak kira agama dan bangsa,” ujarnya.
Barisan penyampai Era FM di acara Kenduri Raya Era.
Pada awal Mac lalu, barisan penyampai 3 Pagi Era berdepan kontroversi apabila mereka memuat naik video yang didakwa mempersendakan agama Hindu.
Susulan itu, pihak Astro Audio dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga mereka.
Trio ini kembali memulakan tugas pada 7 April lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!