suria

Tamat ‘pengajian’ di Jeddah, Yassin pulang sehelai sepinggang... Beri amaran ‘scammer’ kutip dana

Yassin anggap penahanannya di Jeddah pengalaman berharga.

PELAWAK Yassin Senario mendedahkan terdapat pihak cuba mengambil kesempatan sepanjang enam bulan penahanannya di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu.

Yassin atau atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, berkata dia sudah mengenal pasti individu yang mengutip dana menggunakan namanya dengan alasan ingin membantu.

"Kepada scammer yang mengutip dana tanpa pengetahuan saya dan isteri dengan alasan untuk bantu saya... bersedialah! Ada bukti, tapi orangnya hilang," katanya.

Yassin muncul bersama Apek untuk berkongsi cerita penahananya.

Yassin mendedahkan perkara itu menerusi temu bual di Darkcast yang dimuat naik di saluran YouTube pada malam Isnin.

Dia juga menyifatkan penahanannya itu sebagai tempoh pengajian dan pengalaman berharga buat dirinya.

Katanya disebabkan rasa rindu pada keluarga, dia rela pulang sehelai sepinggang dan meninggalkan segala barang peribadinya di sana sebagai kenangan indah.

"Alhamdulillah, ini bukanlah 'mati hidup semula', tapi ia adalah peluang seterusnya dan saya sudah menamatkan 'pengajian' di universiti di Jeddah.

ARTIKEL BERKAITAN: Yassin mengaku tak tahu peraturan, kursus umrah melalui YouTube… ditahan kerana rokok

ARTIKEL BERKAITAN: Yassin Senario muncul dalam ‘live’ TikTok, jawab pertanyaan hilangkan diri

"Tak boleh nak gambarkan perasaan ketika sampai ke Malaysia. Saya memang nak jumpa ibu, isteri dan anak-anak, rindu... Saya menggunakan 'certificate emergency' kerana saya balik sehelai sepinggang. 

"Dokumen tiada. Yang penting, pengajian sudah tamat dan saya boleh balik," ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalaman sepanjang proses penahannya yang pasti memberi pengajaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.

Cerita Yassin, dia terpaksa tidur berdiri selama 10 hari ketika ditahan di balai polis Jeddah kerana lantai lokap tersebut penuh dengan tahanan lain sebelum dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing pada 5 November lalu.

Jangan bawa barang ada lambang larangan.

YASSIN YAHYA

PELAWAK

Malah pada hari pertama di pusat berkenaan dia menerima panggilan daripada pihak konsulat Malaysia di Jeddah sekali gus berpeluang bercakap dengan isterinya walaupun dengan talian yang terputus-putus.

"Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya. Kali pertama saya dapat tinggalkan 'voice note' kepada isteri," ujarnya.

Yassin juga berpeluang membela diri melalui perbicaraan mahkamah secara atas talian pada 19 November lalu dan menjelaskan secara terperinci mengenai kejadian yang berlaku.

Yassin (kiri) kelihatan lebih berisi selepas penahanan.

Dia juga menegaskan dirinya tidak menyeludup bahan terlarang namun dijatuhi hukuman selama enam bulan sehingga dibebaskan pada minggu lalu.

"Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya. Mungkin musibah ini satu kebaikan untuk saya.

"Ini satu pengajaran, saya nak pesan kalau pergi negara orang, berhati-hatilah. Jangan bawa barang ada lambang larangan. Saya tidak mengikuti kursus umrah, jadi saya tidak tahu, tapi inilah akibatnya pergi tanpa ilmu," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain