suria

Amanah agih wang infak di Madinah selesai, Amar Baharin doa jadi ladang pahala buat penyumbang

Amar selesai menjalankan tanggungjawab agihkan duit infak.

PELAKON Amar Baharin meluahkan rasa syukur selepas tanggungjawab mengagihkan wang infak yang dikirimkan sepanjang misi kayuhan ke Tanah Haram sebelum ini sudah diselesaikan.

Amar atau Amar Mohd Baharin, 40, menyalurkan wang berkenaan melalui sebuah restoran dengan mengagihkan makanan kepada jemaah di Masjid Nabawi di Madinah.

“Alhamdulillah semua duit infak telah saya infakkan menerusi Restoran@paktam.madinah untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi.

Amar ketika mengagihkan makanan hasil duit infak.

"Duit infak itu ada diberi sebelum mula perjalanan, di tengah perjalanan dan sesudah sampai di Tanah Haram Madinah,” katanya.

Amar berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Amar menzahirkan penghargaan buat pemberi infak yang bermurah hati berkongsi rezeki.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuaca cecah 51 darjah celsius, kayuhan Amar Bahrin dari Dubai ke Abu Dhabi paling mencabar

ARTIKEL BERKAITAN: Konflik India dan Pakistan, Amar Baharin terpaksa tukar laluan misi kayuhan ke Tanah Suci

Malah Amar mendoakan sumbangan yang diberikan menjadi ladang pahala buat mereka yang bersedekah. 

“Semoga menjadi ladang pahala buat semua yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sifat bertanggungjawab Amar serta rakan misi kayuhannya iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam menyampaikan dana infak.

Amar dan Muqharabbin tamat misi kayuhan mereka pada Khamis lalu.

Misi kayuhan duo berkenaan tamat selepas mereka selamat tiba di Masjid Nabawi pada 29 Mei lalu.

Amar dan Muqharabbin memulakan misi kayuhan itu dari Perlis sejak 27 April lalu.

Mereka dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain