FILEM Ejen Ali The Movie 2 (EATM 2) mencipta sejarah baharu apabila mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM40.6 juta selepas 13 hari ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Kejayaan tersebut sekaligus menjadikan naskhah itu sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia.
Sebelum ini rekod tersebut dipegang filem Mechamato Movie pada 2022 dengan kutipan sebanyak RM35.9 juta.
EATM 2 catat RM14.6 juta selepas 13 hari tayangan.
Menurut pengarah EATM 2 iaitu Usamah Zaid Yasin, kejayaan dikecapi bukanlah kemenangan buat produksi mereka sahaja, sebaliknya untuk seluruh industri animasi di Malaysia yang berusaha keras menghasilkan karya terbaik.
“Ini bukan sahaja kemenangan buat kami, tetapi juga buat seluruh industri animasi tempatan.
"Terima kasih Malaysia kerana percaya pada cerita kita sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof percaya dengan momentum EATM 2 kali ini mampu membuka ruang karya animasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih luas selepas ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kutip RM15.3 juta dalam 4 hari, ‘Ejen Ali The Movie 2’ bukti filem animasi tempatan semakin hebat
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ejen Ali: The Movie 2’ tampil watak baharu, telan kos RM10 juta
“Dengan momentum ini, EATM2 terus membuka ruang dan semangat baharu untuk karya-karya animasi tempatan menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk antarabangsa," ujarnya.
Filem Ejen Ali The Movie 2 mengisahkan seorang budak lelaki bernama Ali yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA).
Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaharu daripada MATA.
Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS.
EATM 2 cipta sejarah jadi filem animasi tempatan nombor satu di Malaysia.
Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.
Filem ini sudah mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei sejak 22 Mei lalu.
Manakala tayangan di Singapura pula bermula pada 5 Jun ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube