PEMPENGARUH Badron Munirah semakin mendapat perhatian susulan lakonan semula jadinya dalam video drama pendek dan parodi di media sosial diminati ramai.
Maka tidak hairan bakatnya sebagai pelakon mula menarik perhatian pihak produksi yang ingin menyuntingnya berlakon dalam drama terbitan mereka.
Di sebalik itu, Badron atau Mohammad Nur-Badron Munirah Rio Abdillah, 26, memberitahu dia tidak melalui jalan mudah untuk mencapai ke tahap dirinya sekarang.
Sebaliknya kata Badron, bagi mengejar cita-cita sebagai pelakon, dia sanggup meninggalkan keluarga di Mukah, Sarawak semata-mata ingin mencari peluang di Kuala Lumpur.
Badron memberitahu ketika mula-mula datang ke KL dia hanya mempunyai RM200 dalam simpanan.
Imbaunya, ketika itu dia hanya mempunyai wang tunai sebanyak RM200 untuk memulakan kehidupan di ibu negara.
Keluarga terutama ibunya langsung tidak mengetahui kepayahannya itu namun tekad dengan keputusan mengejar impiannya.
“Saya 'gamble' dengan berbekalkan RM200 saya datang ke Kuala Lumpur walaupun tidak berapa yakin sama ada cukup atau tidak wang yang ada dalam tangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Syarul Ezani disangka artis baharu, ramai tak tahu rupanya dah lebih 15 tahun berlakon
ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu sekadar tayang cantik, pelakon baharu Hana Tiha sanggup botak kepala jika diminta
“Tapi itulah, hidup ini hanya sekali. Alhamdulillah sekarang saya sudah sampai ke tahap ini,” katanya kepada mStar.
Badron berkongsi perkara itu ketika ditemui di set penggambaran siri Viu berjudul Putri & Phrince arahan Liyana Jasmay di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Dalam pada itu, Badron berkata, apa dilakukan itu bukan sekadar minat terhadap dunia lakonan tetapi ingin memberi kesenangan kepada keluarga di kampung.
Kata Badron, dia percaya dengan bakat dimiliki asalkan dia fokus dengan apa ingin dilakukan.
Hidup ini hanya sekali. Alhamdulillah sekarang saya sudah sampai ke tahap ini.
BADRON MUNIRAH
PELAKON & PEMPENGARUH
“Saya percaya boleh pergi jauh asalkan saya fokus dengan apa yang saya lakukan.
“Disebabkan itulah saya nekad terbang ke KL. Alhamdulillah tindakan itu yang bawa saya ke sini sekarang,” jelasnya.
Hasil kegigihan dan usaha membina nama, Badron teruja apabila dia berjaya membeli kereta idamannya iaitu Honda City Hatchback tahun lalu.
Badron memang mahu bergelar seorang pelakon.
Kata Badron, itu antara pencapaian terbesar pernah dirasainya selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah.
“Saya punya sasaran sejak tamat belajar ijazah memang nak beli kereta. Itulah sebabnya saya kerja dan terus sibukkan diri.
“Alhamdulillah rezeki saya di sini berjalan dengan lancar. Sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit.
"Daripada hasil kumpul duit, saya dapat beli ‘first car’ saya. Saya beli Honda City Hatchback dan itu pencapaian yang paling besar setakat ini,” kongsinya.
Badron bakal muncul dengan drama terbaharu lakonannya berjudul Putri & Phrince.
Dalam perkembangan lain, Badron berbesar hati apabila diberi kepercayaan membawa watak utama dalam drama Putri & Phrince yang mengisahkan tentang konflik para pelajar di Institusi Kasturi.
Badron mengakui watak berkenaan memberi tanggungjawab yang besar buat dirinya namun akan memberi persembahan terbaik.
"Saya memang rasa ini tanggungjawab besar tapi atas bantuan ramai seperti Kak Liyana dan juga rakan-rakan di set ia sangat memudahkan tugas saya," kongsinya.
Selain Badron, drama itu turut dibintangi oleh Nesa Idrus, Farah Nadiah, Adriana Adnan, Nik Rifaie, Khayrisyah Kemal.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube