suria

‘Masing-Masing’ disebut menang AIM24, kategori baharu suntik semangat Ernie Zakri berkarya

Ernie makin bersemangat mahu berkarya.

SEJAK pengumuman tiga kategori baharu menerusi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) pada petang Rabu, ramai meramalkan penyanyi Ernie Zakri bakal dipilih sebagai pemenang.

Ia susulan lagu hitnya iaitu Masing-Masing adalah kolaborasi bersama komposer Indonesia iaitu Ade Govinda dilihat sebagai layak memenangi kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik. 

Mengulas mengenai perkara itu, Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, tidak meletakkan kemenangan sebagai matlamat utama sebaliknya melihat nilai penghargaan terhadap usaha dicurahkan lebih memberi makna.

Ernie bersemangat untuk hasilkan karya lebih baik selepas ini.

"Menang tak menang belakang kira, kerana pada akhirnya kita berjuang untuk sesuatu kerana itu sangat penting buat pengkarya agar tidak mati rasa untuk berkarya," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Ernie mengakui kategori tersebut menyuntik semangat baharu untuknya menghasilkan lebih banyak karya kolaborasi dengan artis luar negara.

Ernie menyambut baik inisiatif Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang memperkenalkan kategori tersebut yan membuka ruang kepadanya pengkarya menghasilkan lagu lebih berkualiti.

“Sebagai pengkarya di Malaysia, kita akhirnya ada tujuan untuk menghasilkan lagu dan album. Bila kita jalani sesi fotografi cantik-cantik untuk kulit album, akhirnya akan ada pengiktirafan buat segala usaha itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Buka pencalonan untuk komposer luar negara di AIM24, ini alasan penganjur

ARTIKEL BERKAITAN: AIM24 kembali September depan, perkenal 3 kategori baharu termasuk 'Kolaborasi Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik'

"Kadang kala kita buat lagu itu untuk apa, adakah ia sekadar buat peminat saja? Sekurang kurangnya ada pengiktirafan bukan hanya untuk penyanyi tetapi penulis lirik dan komposer yang melakukan kerja ini sepenuh masa,” ujarnya.

Pada Rabu, Pengerusi RIM iaitu Rosmin Hashim memberitahu tiga kategori baharu diperkenalkan pada edisi kali ini iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik. 

Kata Rosmin, anugerah tambahan ini dibuat bagi mengiktiraf karya muzik yang memupuk nilai perpaduan dan memberi pengiktirafan kepada kejayaan artis tempatan melebarkan kerjaya seni di luar negara.

Terdapat tiga kategori baharu diperkenalkan pada edisi AIM24 kali ini.

AIM24 bakal kembali diadakan pada 13 September depan di Arena of Stars, Genting Highlands.

Dalam perkembangan lain, Ernie baharu sahaja melancarkan single terbaharunya yang berjudul Kisah Penuh Kecewa.

Lagu berkenaan adalah duet bersama penyanyi Indonesia iaitu Anggi Martio.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain