suria

Amar Baharin lakukan pengorbanan berbeza, air mata gugur di Madinah

Amar melakukan pengorbanan berbeza dengan bermusafir melihat kebesaran Allah.

ISTIMEWA sempena meraikan perayaan Aidiladha, pelakon Amar Baharin menganggap pengorbanan terbesar yang dilakukan tahun ini adalah ketika membuat kayuhan basikal ke Kota Madinah. 

Amar atau Amar Mohd Baharin, 40, berkata, tahun ini dia tidak melakukan ibadah korban namun cukup merasakan keindahan ketika berada di sana. 

“Pengorbanan aku tahun ini bukan pada sembelihan binatang ternakan namun lebih kepada pengorbanan masa, tenaga untuk bermusafir melihat kebesaran Allah. 

Amar  memulakan misi berbasikal ke Tanah Haram sejak April lalu.

“Setiap inci tanah yang aku lalui, sama ada melangkah atau berkayuh adalah pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit,” katanya. 

Amar berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Amar memberitahu setiap titis keringat dan kepenatan yang dilaluinya akhirnya berbaloi selepas dia menyaksikan sendiri keindahan masjid yang tersergam indah di Kota Madinah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah agih wang infak di Madinah selesai, Amar Baharin doa jadi ladang pahala buat penyumbang

ARTIKEL BERKAITAN: Cuaca cecah 51 darjah celsius, kayuhan Amar Bahrin dari Dubai ke Abu Dhabi paling mencabar

“Lelah dan keringat perjalanan hilang tatkala melihat atap Masjid Nabawi tersergam indah penuh sejarah di Tanah Haram (Madinah) penuh berkat. 

“Mengalir air mata ziarah Nabi Muhammad SAW kekasih Allah, Allahuakbar,” ujarnya. 

Untuk info, Amar memulakan misi berbasikal ke Tanah Haram bersama rakannya yang juga pendaki pertama Gunung Everest iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin sejak 27 April lalu. 

Misi kayuhan duo berkenaan tamat selepas mereka selamat tiba di Masjid Nabawi pada 29 Mei lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain