PENYANYI Sheqal ditidurkan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan sejak Khamis akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Berita itu disahkan sendiri oleh isterinya iaitu Normah Mohd Yusoff, 58, yang memberitahu tahap oksigen penyanyi itu menurun sehingga 62 peratus sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Suami saya dimasukkan ke hospital pada petang Khamis. Saya hubungi ambulans dan bila diperiksa, oksigennya menurun. Itu yang mereka bawa terus ke hospital.
Sheqal menerima rawatan di ICU Hospital Tuanku Jaafar.
“Pernafasannya tak stabil dan doktor nasihatkan dia ditidurkan kerana ada jangkitan kuman di paru-paru dan juga paru-paru berair,” katanya.
Dalam pada itu, Normah memberitahu keadaan terkini Sheqal sudah bertambah baik namun penyanyi berkenaan masih belum sedarkan diri.
“Air sudah dibuangkan dan kemudian doktor nak pantau penyakit lain kerana kemungkinan ada lain yang perlu diperiksa. Malam tadi saya difahamkan doktor sudah buat CT Scan.
ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Sheqal tumpah, tersentuh ramai sudi hulur bantuan sejak diserang strok
ARTIKEL BERKAITAN: Badan menggigil dan sakit dada... Dwan Olan dikejarkan ke hospital, isteri bimbang serangan strok kali kedua
“Setakat pagi ini (Sabtu) masih lagi ditidurkan. Doktor pun tak pasti bila nak disedarkan. Tapi Alhamdulillah semalam oksigen sudah naik dan dia masih dalam pemantauan,” ujarnya.
Untuk rekod, Sheqal atau Shahrin Salehuddin, 59, sebelum ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.
Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini menggunakan kerusi roda.
Menerusi temu bual bersama mStar, Sheqal memberitahu dia tidak lagi mampu bekerja dan tidak menerima tawaran menyanyi seperti dahulu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube