PERKONGSIAN foto penyanyi Daniel Sher yang menziarahi Masjid Shah Alam, Selangor bersama dua finalis Big Stage Alpha (BSA) iaitu Rizal Rasid dan Afiq Sky baru-baru ini mencuri perhatian netizen.
Berpeluang menjejakkan kaki ke masjid buat kali pertama, Daniel, 35, yang berbangsa Gurkha berkata, dia berasa seronok dapat merasai pengalaman berharga itu.
Daniel bersama Rizal ketika berada di dalam masjid.
"Ini adalah pengalaman kali pertama saya ke masjid. Saya berasa tenang berada di sana dan suka perasaan itu.
"Saya rasa seperti dialu-alukan sebab tiada yang pandang serong.
"Saya seronok dapat meluangkan masa dan berjalan di sekitar masjid itu," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Ariel Fesol juara Big Stage Alpha, 7 finalis jadi ‘boy group’ baharu... Bakal tampil di konsert Hael Husaini
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Big Stage’ buat kelainan, tampil semua peserta lelaki
Daniel berkongsi perkara itu ketika ditemui sejurus tamat konsert akhir Big Stage Alpha (BSA) yang diadakan di Royale Teater Shah Alam pada Ahad.
Menurut Daniel, Rizal adalah individu yang banyak berkongsi ilmu tentang keindahan Islam terhadapnya.
Malah perkongsian itu diterima dengan positif memandangkan negara Malaysia mempunyai pelbagai budaya dan agama yang boleh dipelajari.
Nama Daniel semakin dikenali selepas memasuki Big Stage Alpha.
"Rizal banyak berkongsi info fasal Islam dengan saya.
"Macam pergi masjid baru-baru ini, dia kata kalau ada niat untuk ke masjid pun boleh dapat pahala serta peroleh keberkatan.
"Jadi saya rasa ini info yang baik memandangkan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya dan agama," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube