PELAKON veteran, Sukarni Jaafar memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya keluarga Allahyarham Sheqal ingin membawa dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu bersama aktres popular era 1980-an, Raja Ema, untuk menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir.
Menurut Sukarni yang juga ibu saudara kepada Raja Ema, sehingga kini tiada wakil daripada keluarga Allahyarham yang menghubunginya berhubung urusan pertemuan tersebut.
“Seperti dimaklumkan oleh Raja Ema, anak sulungnya, Putera Ammar kini sedang berdepan dengan ujian kesihatan kerana menghidap penyakit gastroparesis, menyebabkan pergerakannya agak terbatas.
“Tapi kalau ada dalam kalangan ahli keluarga Sheqal yang mahu membawa anak-anak terutama Putera Al-Kasyah untuk menatap arwah bapanya buat kali terakhir, saya dan Raja Ema okay saja.
Sukarni (dua dari kanan) memaklumkan anak Raja Ema tidak dapat hadir ke acara pengebumian Sheqal.
“Cuma selama ini tiada sesiapa yang menghubungi kami untuk mempertemukan mereka dengan bapanya,” katanya ketika dihubungi mStar.
Tambah Sukarni, mereka sekeluarga juga buntu kerana tidak menerima sebarang maklumat berhubung kematian atau urusan pengebumian arwah.
“Walaupun anak saudara saya ini sudah besar, tapi mereka tidak mempunyai lesen kenderaan serta tidak mengenali siapa bapanya.
“Apabila jadi begini, kami sendiri pun buntu sebab tidak mendapat sebarang info mengenai berita kematian atau maklumat pengebumian arwah,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sheqal meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Raja Ema dedah anak-anak tak pernah kenal ayah mereka, tiada panggilan dari keluarga Sheqal
Dalam pada itu, Sukarni berkata Raja Ema sudah mengetahui mengenai pemergian bekas suaminya itu namun tidak berhasrat untuk hadir ke majlis pengebumian.
“Raja Ema memang tidak akan ke kubur. Dia sudah tiada kena mengena dengan bekas suaminya itu.
“Nanti apa kata isterinya. Dia memang tiada masalah kalau ada ahli keluarga Sheqal yang mahu membawa anak-anak untuk melihat jenazah bapanya,” ujarnya.
Seperti dimaklumkan oleh Raja Ema, anak sulungnya kini sedang berdepan dengan ujian kesihatan.
SUKARNI JAAFAR
PELAKON/IBU SAUDARA RAJA EMA
Pada Selasa, isteri Sheqal iaitu Normah Mohd Yusoff, 58, memaklumkan suaminya meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.
Sheqal sudah ditahan di wad sejak 4 Jun lalu dan selepas dua hari penyanyi berkenaan ditidurkan kerana tahap oksigen menurun sehingga 62 peratus.
Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini dilaporkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan menggunakan kerusi roda.
Raja Ema (tengah) dan dua orang anak lelakinya hasil perkahwinan bersama Sheqal.
Sebelum ini, Allahyarham berdepan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.
Untuk rekod, Sheqal mendirikan rumah tangga dengan Raja Ema pada 1993, namun pernikahan mereka hanya bertahan selama enam tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Putera Ammar, 30, dan Putera Al Kasyah, 28 tahun.
Sheqal kemudiannya bernikah dengan Normah dan mempunyai dua orang cahaya mata lelaki Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani Shaharim, 20.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube