PENYANYI Sheqal meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban pada pukul 12.31 tengahari, Selasa.
Berita sedih itu dikongsi oleh isterinya, Normah Mohd Yusoff, 58 yang memaklumkan suaminya sudah ditahan wad sejak 4 Jun lalu.
Selepas dua hari dimasukkan ke HTJ, Sheqal Shaharim Salehuddin, 60, ditidurkan kerana tahap oksigen penyanyi itu menurun sehingga 62 peratus.
Normah (kiri) sebelum ini memaklumkan Sheqal ditidurkan akibat jangkitan paru-paru.
Penyanyi lagu Cinta Nusantara ini turut menghidap penyakit buah pinggang tahap empat dan kini menggunakan kerusi roda.
Menerusi temu bual bersama mStar, Sheqal memberitahu dia tidak lagi mampu bekerja dan tidak menerima tawaran menyanyi seperti dahulu.
Sheqal sebelum ini berdepan dengan masalah kesihatan termasuk diserang angin ahmar sebanyak empat kali sejak 2020.
ARTIKEL BERKAITAN: Sheqal ditidurkan, oksigen menurun akibat jangkitan paru-paru
ARTIKEL BERKAITAN: Sunyi sejak suami ditidurkan, isteri Sheqal setiap hari teman di hospital... Doktor usaha sedarkan semula
Untuk rekod, Sheqal dan Normah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Fatullah Shaharim, 21, dan Ummu Hani Shaharim, 20.
Sebelum itu, Sheqal pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Raja Ema pada 1993, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam tahun.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Putera Ammar, 30, dan Putera Al Kasyah, 28 tahun.
Sheqal memulakan kerjaya sebagai penyanyi di era 1990-an dengan genre muzik nusantara dan pop tradisional.
Antara lagu-lagu popular nyanyian Sheqal termasuk Zapin Rindu-rinduan, Cinta Nusantara dan Ratib Orang Lautan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube