suria

Jatuh cinta dengan masakan mamak, Cakra Khan borong berkotak-kotak mi segera bawa pulang Indonesia

Cakra tidak akan terlepas membeli mi segera perisa kari di Malaysia.

MI segera perisa kari antara makanan yang akan dibawa pulang oleh penyanyi Indonesia, Cakra Khan setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur. 

Mula jatuh cinta dengan cara masakan mi segera di restoran mamak, Cakra, 33, akan pastikan dia membeli berbungkus-bungkus makanan tersebut untuk di bawa pulang. 

Malah katanya, setiap kali melalui pemeriksaan di lapangan terbang ada yang menyangka dia mahu menjual semula pek makanan tersebut di Indonesia. 

Cakra ada cara tersendiri menyediakan mi segera perisa kari. 

"Saya akan bawa pulang berkotak-kotak sehingga disangka mahu menjual semula. Setiap orang yang ikut saya ke Kuala Lumpur akan bawa satu kotak. 

"Tetapi sekarang seperti sudah terbiasa. Pihak berkuasa di lapangan terbang pun seakan tahu makanan kegemaran saya dan sudah tidak banyak bertanya," katanya kepada mStar. 

Penyanyi itu ditemui ketika sidang media konsert Divine Cakra Khan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Senasib dengan Zazzleen, Cakra Khan pernah diejek penyanyi suara berkahak 

ARTIKEL BERKAITAN: Rossa punca Cakra Khan terkenal di Malaysia, menitis air mata atas pentas kenang arwah bapa

Tambahnya dia sendiri akan menyediakan menu mi segera perisa kari itu ketika di rumah dengan campuran pelbagai sayuran serta bahan protein. 

Menurut Cakra, rasa produk makanan dari Malaysia itu berbeza berbanding mi segera yang biasa didapati di pasaran di sana. 

"Di Indonesia saya suka satu jenama mi segara. Tetapi rasa kari itu berbeza. Perisa kari yang dijual di sini ada keunikan sendiri. 

Setiap orang yang ikut saya ke Kuala Lumpur akan bawa satu kotak

CAKRA KHAN 

PENYANYI

"Daripada dulu saya sudah tahu masak mi segera. Ibu juga selalu pesan supaya menambah sayuran serta bahan lain. Biasanya saya akan dihidang dalam mangkuk besar sebab ada banyak bahan campuran lain," kongsinya. 

Sementara itu bercakap tentang konsert yang bakal berlangsung pada 2 Ogos ini, Cakra meluahkan rasa teruja kerana sekali lagi dapat bertemu menghiburkan peminat di Malaysia. 

Sebagai seorang berpengalaman, dia juga cukup peka dalam setiap sudut persiapan agar penonton berpuas hati. 

Cakra teruja sekali lagi bertemu peminat Malaysia.

"Saya akan selalu ambil tahu termasuk dari segi pencahayaan dan konsep pentas. Semuanya kena sesuai dengan lagu. Dari pengalaman lepas saya jadi lebih teliti untuk konsert ini. 

"Saya akui agak sedikit cerewet dan ambil tahu tentang semua hal," ujarnya. 

Konsert Divine Cakra Khan bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan tiket boleh didapati di www.myticket.asia. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain