IMPIAN pelakon Rita Rudaini untuk menjejakkan kaki ke Istana Arau, Perlis akhirnya tercapai pada usia 49 tahun.
Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, berkata, dia teruja apabila dapat merasai pengalaman berada di dalam istana yang disifatkan seakan sama seperti dalam filem klasik Melayu zaman dahulu.
Kongsi Rita, aura yang dirasakan begitu luar biasa sehingga membuatkan dirinya menggigil dan berdebar.
"Dalam usia 49 tahun, impian jadi kenyataan tapi bukan jadi puteri raja atau kahwin anak raja, dapat juga jejakkan kaki dalam Istana Arau Tuanku Raja Perlis.
Rita (kanan) bersama Ezany (kiri) merakamkan foto kenangan bersama Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis.
"Dapat dengar alunan muzik tradisional, adat istiadat bila Tuanku melangkah masuk ke dalam balairong seri. Ya, betul macam dalam filem-filem Melayu kisah istana dulu-dulu.
"Naik bulu roma saya tambah pula bila lagu negeri Perlis dimainkan. Aura istana buat kaki saya menggigil, tangan saya sejuk, dada berdebar," katanya.
Rita berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Rabu.
Dalam pada itu, Rita memberitahu sejak kecil lagi dia sudah menyimpan angan-angan untuk memasuki perkarangan istana.
ARTIKEL BERKAITAN: Rita Rudaini terima anugerah Pingat Jasa Baik, hadiah istimewa sempena 28 tahun dalam dunia seni
ARTIKEL BERKAITAN: Anak minat jadi pelakon, Rita Rudaini minta cari kerja jamin masa depan
Malah dia amat mengagumi keindahan kawasan istana yang hanya dapat dilihat dari luar apabila dia berjalan-jalan sekitar daerah Arau.
"Dulu masa kecil-kecil selalu main pondok-pondok jadi Puteri Raja, duduk di singgahsana.
"Angan-angan masa kecil, jalan-jalan Arau nak tengok istana. Mulut ternganga kagum tertanya apa yang Raja buat dalam istana besar ni," ujarnya.
Dalam hantaran sama dia juga berkongsi kenangan bergambar dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Mengimbau kembali kenangan di zaman persekolahan, Rita sambil berseloroh memberitahu dia pernah dikejar oleh seorang anak kerabat raja Perlis ketika berusia 12 tahun.
"Saya bersekolah yang sama di mana anak-anak Raja Perlis memang belajar di sini.
Rita menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke istana sejak kecil lagi.
"Saya pernah kena kejar dengan salah seorang anak kerabat Raja Perlis sebab dia kata saya 'kakak cantik'. Masa itu saya darjah 6.
"Setiap kali dia jumpa saya, dia akan kejar saya. Dia junior darjah 3 Waktu itu. Bila kereta istana datang dia jaga kelakuan. Susah betul jadi orang cantik ni," katanya.
Pada Isnin, Rita menerima anugerah darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis sempena ulang tahun keputeraan ke-82 Raja Perlis.
Pelakon filem Mami Jarum ini menerima Pingat Jasa Baik (PJB) sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang seni tanah air khususnya dalam bidang lakonan, selain usaha murni terhadap aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube