suria

Syed Saddiq terhutang budi, anggap Bella Astillah wanita hebat… Setia jadi teman di sisi

Syed Saddiq (kanan) tidak pernah lupa kebaikan Bella terhadap dirinya.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan pernah melupakan segala jasa dan kebaikan pelakon Bella Astillah yang selama ini memberikan sokongan terhadapnya. 

Syed Saddiq, 32, berkata sepanjang enam bulan perkenalan mereka, dia terhutang budi dengan aktres berkenaan kerana sentiasa ada di sisi dan membuatkan dirinya gembira. 

"Ramai yang tanya mana Bella. Saya rasa dia sedang berehat kerana tadi (Rabu) pun dia sentiasa bersama. 

Bella (kanan) sentiasa memberikan sokongan terhadap Syed Saddiq.

"Memang saya terhutang budi dengan Bella. Walaupun kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak beberapa bulan lalu, dia sentiasa ada untuk buat saya gembira, bekerja sama-sama dan sampai ke hari ini sentiasa berada di sisi," katanya. 

Syed Saddiq berkongsi perkara itu menerusi sesi siaran langsung yang dibuat di TikTok miliknya pada malam Rabu. 

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memohon maaf kepada penyokong kerana tidak boleh sentiasa bersama Bella disebabkan aktres berkenaan mempunyai keluarga dan anak-anak yang perlukan perhatian.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syed Saddiq belum fikir fasa seterusnya dengan Bella Astillah, mahu raikan keluarga dulu

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bella Astillah serah jodoh dengan Syed Saddiq kepada takdir… “Tak manis untuk kongsi perancangan masa depan”

Malah ahli parlimen itu menyifatkan Bella seorang wanita luar biasa dan menganggap ujian diterima olehnya ini tidak setanding dugaan dilalui oleh pelakon tersebut.

"Maaflah saya tidak boleh membawa Bella pada setiap sesi siaran langsung. Saya pun rasa sangat bersalah kerana dia (Bella) pun ada kerja dan keluarga.

"Dia ada Ayden dan Ara (anak) yang menagih cintanya sebagai seorang ibu. Saya tidak akan lupa perkara tersebut, anda (netizen) semua tak perlu risau tentang itu. 

"Kerana hutang budi itu perlu dibalas dan tidak akan dilupakan. Dia adalah wanita luar biasa. Apa yang saya diuji ini tidak ada apa sangat berbanding ujian yang Bella terima sebelum ini," ujarnya. 

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan.

Pada Rabu, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, tiba di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur seawal pukul 7.50 pagi bagi mengikuti prosiding keputusan rayuan yang difailkan Syed Saddiq. 

Syed Saddiq akhirnya dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan berkaitan pecah Amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). 

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain