suria

Fattah Amin umum ‘bertunang’ di Konsert Jiwa Kacau, Wali Band pula buat satu stadium berjoget

Fattah (kiri) dan Wali Band antara yang mendapat perhatian pada malam konsert.

LEBIH 13,000 penonton memenuhi Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi menyaksikan Konsert Jiwa Kacau 3.0 yang berlangsung pada malam Sabtu. 

Konsert yang diadakan selama lebih empat jam itu menampilkan tujuh persembahan bertenaga termasuk kejutan istimewa daripada pelakon dan penyanyi Fattah Amin.

Tepat pukul 8 malam, The Lantis membuka pentas dengan lagu popular mereka iaitu Lampu Merah, Ambang Rindu, Santai dan Bunga Maaf. 

Suasana bertambah rancak dengan persembahan Hujan menerusi Di Kala Bulan Bermain Biola, Rahsia Tuhan, Kotak Hati, Bila Aku Sudah Tiada dan Aku Skandal.

Wali Band membuatkan penonton tidak senang duduk dengan seleksi lagu persembahan mereka.

Kumpulan Spider pula menyambung kehangatan konsert dengan menyampaikan 7 lagu hits iaitu Ngam Ho, Cinta Dewa Dewi, Bila Nak Saksi, Telinga Ke Tulang, Buat Sang Puteri, Aladin dan Nazraku yang berjaya membuat penonton menyanyi bersama.

Acara menjadi semakin gamat hingga membuatkan penonton ‘histeria’ dengan kemunculan mengejut Fattah yang menyampaikan lagu Tapi Bukan Aku nyanyian asal Kerispatih.

Tidak hanya itu, penonton yang hadir turut ‘menjerit’ apabila pelakon berusia 35 tahun itu  mengumumkan dia sudah mengikat ‘tali pertunangan’. 

Bagaimanapun suasana bertukar lucu apabila Fattah menjelaskan ia bukan merujuk kepada kisah peribadinya, tetapi ‘bertunang’ dengan sebuah produk yang melantiknya sebagai duta. 

ARTIKEL BERKAITAN: Fatima nak pergi Disneyland, Fattah Amin pula tanya kenapa tak jawab panggilan video

ARTIKEL BERKAITAN: Wali Selesa Digelar 'Band Kampung'

Dalam masa sama, turut kelihatan ialah penyanyi Amira Othman yang hadir sebagai penonton dan menemani Fattah. 

Selepas kejutan tersebut, pentas kembali diteruskan dengan persembahan kumpulan dari Indonesia iaitu Kerispatih menerusi lagu Aku Harus Jujur, Tapi Bukan Aku, Tertatih, Bila Rasaku Ini Rasamu, Terbaik Untukmu dan Demi Cinta. 

Tenaga penonton tidak terhenti di situ, Bunkface pula kemudiannya tampil dengan lagu-lagu ikoniknya iaitu Malam Ini Kita Punya, Panik, Korang, Darah Muda, Situasi dan Revolusi. 

Sebagai penutup konsert, Wali Band muncul dengan aura tersendiri dan berjaya mencipta momen paling membahagiakan pada malam tersebut. 

Persembahan mantap daripada Tam (kiri) dan Sam di Konsert Jiwa Kacau 3.0.

Penonton bukan sahaja menyanyi bersama, malah ikut menari dan mengikut rentak lagu seperti Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Tobat Maksiat, Yank dan Cari Jodoh dipersembahkan pada malam itu. 

Stadium juga bertukar menjadi pesta apabila ribuan peminat menyanyi serentak, sambil ketawa dan berhibur dengan gaya bersahaja Wali Band yang begitu dekat dengan penonton.

Secara peribadi, penulis percaya walaupun Konsert Jiwa Kacau dianjurkan sebanyak mana sekali pun, tiket tetap akan ‘sold out’ kerana pemilihan band yang tepat serta kena dengan cita rasa semua generasi.

Kumpulan-kumpulan seperti Hujan, Spider, Bunkface dan Wali Band berjaya membina lagu yang tidak lapuk dek zaman, malah terus relevan dan disayangi generasi baru.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain