suria

Lama menyepi, Aliff Aziz lepas gian menyanyi di Singapura

Aliff menghiburkan penonton di Marina Bay, Olympic Walk, Singapura.

SEKIAN lama tidak muncul dalam aktiviti seni, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz nampaknya seakan-akan melepaskan gian membuat persembahan di Marina Bay, Olympic Walk, Singapura pada malam Sabtu. 

Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, 34, mengucapkan terima kasih buat sahabat yang dikenali sebagai hxrrs kerana memberi peluang untuknya mendendangkan beberapa buah lagu pada persembahan tersebut. 

Kata Aliff, dia berharap nyanyiannya itu mampu menghiburkan penonton yang hadir. 

Aliff teruja dapat menghiburkan penonton yang hadir.

"Ini merupakan satu pengalaman menarik meraikan muzik di persekitaran berbeza. Terima kasih kerana menjemput saya membuat persembahan pada malam ini (Sabtu). 

"Kepada semua yang hadir, saya harap dapat menghiburkan anda dalam momen yang singkat ini. Terima kasih," katanya. 

Aliff berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Jatuh tapi tak pernah musnah, 2025 tahun kebangkitan Aliff Aziz

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku salah berkhalwat, sudah bayar denda RM3,000

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu turut memuat naik semula video yang dikongsi peminat menerusi Instastory. 

Aliff dilihat menghiburkan penonton dengan seleksi lagu-lagu pilihan termasuk Sedang Apa dan Di Mana (Kerispatih), Rindu Setengah Mati (D'Masiv), Hanya Rindu (Andmesh), Kasih Tak Sampai (Padi) dan Bila Cinta nyanyian Gio. 

Menerusi perkongsian tersebut, Aliff berjaya menghiburkan penonton yang rata-ratanya terpukau dengan kelunakan suara penyanyi berkenaan.

Sebelum ini, nama Aliff terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk dicekup berkhalwat bersama aktres Ruhainies di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 9 Mac 2024.

Aliff tidak lagi aktif dalam dunia hiburan selepas namanya terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Pada 13 Mac tahun sama, isteri Aliff iaitu pelakon Bella Astillah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pasangan itu akhirnya sah bercerai apabila Aliff melafazkan talak satu terhadap Bella di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najid Wan Hamat pada 13 Jun 2024.

Selepas kontroversi demi kontroversi yang dilalui, Aliff dilihat kurang aktif dalam dunia hiburan dan dipercayai pulang ke kampung halamannya di Singapura.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain