suria

Penampilan dipuji makin menawan, Nadeera Zaini tetap syarat tak mahu pakai seksi

Nadeera enggan menggayakan imej seksi.

PENYANYI Nadeera Zaini menegaskan tidak akan berpakaian seksi demi menjaga penampilan sebagai seorang anak seni. 

Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 32, berkata, dia kini sudah mempunyai pasukan penata gaya bagi memastikan setiap busana yang disarung sesuai digayakan pada setiap acara. 

Kata Nadeera, sebelum ini dia mengakui penampilannya pernah menjadi perhatian kerana dikatakan tidak menarik. 

Nadeera kini dipuji makin cantik menawan.

"Saya ada pasukan glam (penata gaya) dan sebelum ini ramai (netizen) mengatakan pakaian saya tidak berapa cantik. Daripada situ juga pasukan saya cuba untuk berusaha lakukan yang terbaik. 

"Saya sebenarnya orang yang tidak susah menerima pandangan orang lain. Selagi 'masuk akal' untuk menggayakan pakaian disediakan, saya terima sahaja. 

"Kalau yang tak masuk akal seperti seksi, saya tidak akan pakai," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nadeera Zaini ‘potong’ gula hilang 10 kilogram, kurus bukan sebab pembedahan

ARTIKEL BERKAITAN: Suara dah sedap tapi pakaian pula tak kena! Netizen kritik penampilan Nadeera ketika persembahan TV di Indonesia

Dalam pada itu, Nadeera turut meluahkan rasa syukur kerana mempunyai tenaga kerja yang sentiasa komited dalam memastikan penampilan dirinya terjaga dengan baik. 

"Saya tidak serahkan 100 peratus keputusan kepada penata gaya tetapi daripada awal lagi saya sudah beritahu tidak mahu memakai pakaian seksi.

"Mereka (penata gaya) pun mengenali diri saya yang sebenar. Terima kasih kepada pasukan saya kerana telah bekerja keras untuk menjaga penampilan saya selama ini," ujarnya. 

Nadeera mahu mengekalkan imej sopan.

Pada Mac lalu, penampilan Nadeera sewaktu menyambut hari raya Aidilfitri mencuri perhatian ramai apabila dipuji semakin berseri menggayakan baju kurung potongan moden rona hijau. 

Menerusi perkongsian di TikTok, Nadeera memuat naik sebuah video menyanyikan lagu Meriah Lain Macam bersama keluarganya.

Berjaya meraih lebih 1 juta tontonan, rata-rata netizen memuji penampilan penyanyi itu yang dilihat semakin menawan. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain