suria

[V] Hanya lapan individu dibenarkan guna jenama XPDC

SYARIKAT rakaman Life Records hanya mengiktiraf lapan individu sebagai anggota rasmi kumpulan XPDC sejak penubuhan mereka pada 1988.

Menurut peguam yang mewakili Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) iaitu Aizul Rohan, lapan individu tersebut termasuk Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael), Mohd Zulkifly Nik Hussin (Izo), Azuar Md. Tasi (Zuar) dan Rosly Abdul Samat (Lee Space).

Manakala empat individu lagi ialah Suhaimi Abu Bakar (Amy), Mohd Ali Ismail (Ali), Saiful Rizla Kamarudin (Lola) dan Amran Marsiman (Yan).

Antara ahli XPDC yang hadir ke sidang media.

Kata Aizul, sekiranya ada individu lain menggunakan jenama XPDC, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

"Persoalan isu penggunaan nama ini sudah berjawab. Kami sudah jelaskan siapa yang mempunyai hak untuk menggunakan nama XPDC.

"Seperti tertulis dalam kenyataan hari ini, nama yang tidak disebut secara automatik tiada hak. Sekiranya ada individu lain menggunakan nama XPDC tindakan tegas boleh diambil," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: XPDC dipatenkan sejak 26 tahun lalu, pihak cuba guna nama sama perlu dapat kebenaran

ARTIKEL BERKAITAN: “Main muzik macam tu ke bunyi, tak layak”... Izo kesal isu claim nama XPDC

Aizul berkongsi perkara itu ketika ditemui dalam satu sidang media rasmi yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang pada petang Rabu.

Dalam pada itu, Presiden Karyawan iaitu Datuk Freddie Fernandez berharap isu penggunaan nama XPDC ini tidak lagi disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, Karyawan tidak akan berdiam diri jika ada pihak yang berani melanggar hak cipta tersebut.

"Masalah ini berlarutan begitu lama sehingga berlaku pergaduhan. Jadi kami mahu jernihkan keadaan dan melakukan tindakan daripada segi undang-undang.

Saya harap isu ini dapat diselesaikan .

AIZUL

ANGGOTA XPDC

"Saya harap isu ini dapat diselesaikan dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menghormati hak orang lain," ujarnya.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila sebuah kumpulan memperkenalkan diri sebagai Real XPDC.

Kumpulan terbabit secara aktif membuat persembahan, mempromosikan konsert dengan menggunakan nama XPDC dalam pelbagai bahan promosi tanpa kebenaran atau pengesahan rasmi daripada pemilik hak.

Meskipun mereka menggunakan istilah 'Real' sebagai pengubah suai, hakikatnya nama XPDC masih digunakan secara utama menyebabkan kekeliruan awam dan berpotensi menimbulkan tanggapan salah.

XPDC kongsi beberapa poster dibenarkan guna namanya.

Setakat ini hanya dua entiti telah diberi kebenaran rasmi dan bertulis untuk menggunakan nama XPDC iaitu XPDC (Kita Peng Yu) dan XPDC (Militia).

XPDC Kita Peng Yu membariskan anggota asal Zuar (pemain bass) dan Amy (pemain drum) manakala anggota baru Jeff selaku pemain gitar serta Ary menggantikan tempat Mael sebagai vokalis.

Sementara itu, XPDC Militia pula menampilkan anggota asal, Izo (pemain gitar) dan Ali yang pernah bersama mereka menerusi album Samurai pada 1998 sebagai vokalis, manakala anggota baharu ialah Eddie (pemain bass) dan Lola (pemain drum).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain