BAHARU enam bulan bergelar bapa, pelawak dan penyampai radio Suria FM iaitu Chiwan berkongsi isterinya pernah berdepan dengan emosi tidak stabil atau meroyan ketika sedang berpantang.
Cerita Chiwan atau Mohd Azwan Sabri, 39, isterinya, Amira Ayuni Hashim ada mendengar bisikan kira-kira dua minggu selepas melahirkan anak pertama.
Lebih menakutkan, bisikan itu berulang kali meminta dia melakukan sesuatu yang tidak elok.
Emosi isteri Chiwan terganggu semasa sedang berpantang.
"Dia dengar bisikan macam suruh campak anak. Ketika itu dia nampak macam serabut dan ketakutan.
"Dia tak campak pun anak itu, tapi dia bimbang sekiranya keadaan jadi semakin teruk hingga tak boleh kawal diri," katanya kepada mStar.
Kata Chiwan, dia pada awalnya seakan-akan kurang percaya namun tetap mengambil berat dengan masalah emosi yang dihadapi isterinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Chiwan dah jadi bapa, isteri selamat bersalin anak pertama
ARTIKEL BERKAITAN: Chiwan dah bergelar suami, buat persiapan nikah dalam tempoh 20 hari
Malah dia sentiasa menasihati isterinya agar tidak terlalu mengikut kata bisikan tersebut dan meminta untuk berkongsi setiap perkara dengannya.
"Saya ini orang yang macam susah percaya tapi tidak mengabaikan apa juga yang dia rasa. Kalau benda itu betul nanti akan jadi salah saya pula.
"Tapi saya selalu ingatkan untuk dia tidak melayan perkara itu, Allah sentiasa ada. Saya beritahu dia kalau rasa tak okay boleh hubungi saya, semua perkara boleh dibawa bincang," ujarnya.
Risau tinggalkan isteri dan anak berdua di rumah.
CHIWAN
PELAWAK/PENYAMPAI RADIO
Pun begitu, luahan tersebut sedikit sebanyak mengganggu dirinya memandangkan terpaksa keluar bekerja dan meninggalkan isteri dan anak berduaan.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila keadaan tersebut tidak terlalu serius malah keadaan Amira juga sudah kembali pulih.
"Rasa panik itu ada, lebih-lebih lagi apabila tinggalkan isteri dan anak berdua di rumah. Kami memang tiada adik beradik lain, ibu bapa dia juga di Klang jadi tiada orang lain di rumah itu. Ia buat saya tambah risau.
Keadaan kesihatan isteri Chiwan sudah pulih.
"Tapi nasib baik ada kakak confinement lady (CL) yang menjaga dia pantang, pada dia saja saya harapkan," jelasnya.
Untuk rekod, Chiwan dan Amira mendirikan rumah tangga pada 5 Mei tahun lalu dalam sebuah majlis yang diadakan di Bizmilla Eco Sanctuary, Telok Panglima Garang, Banting, Selangor.
Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Canteq Kesuma yang kini berusia 6 bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube