PENYANYI Kilafairy menegaskan dia masih kekal bertudung biarpun pernah terlintas di hati untuk membuka hijab baru-baru ini.
Menurut Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, 33, sokongan dan kata-kata semangat penyokong memberikan kekuatan untuk terus dengan imej bertudung.
"Sekarang saya baru sedar betapa susahnya nak istiqamah. Sebelum ini saya selalu baca artikel tentang selebriti yang berjuang untuk kekal dengan imej bertudung.
"Insya-Allah doakan saya terus kuat dengan imej ini. Saya sangat terharu apabila melihat maklum balas peminat dan netizen yang mendoakan saya. Sedikit sebanyak menguatkan semangat saya kembali,"katanya kepada mStar pada Jumaat.
Kilafairy mohon doa orang ramai agar dirinya terus kuat dengan ujian yang berlaku.
Kilafairy berkata, dia sedar perkongsian di aplikasi Threads sebelum ini menerima impak negatif daripada segelintir pihak, namun tindakannya itu adalah untuk melihat pandangan orang luar.
“Saya berkongsi kerana mahu faham daripada pelbagai sudut pandang. Saya ingin buat keputusan dengan hati yang tenang dan terbuka, sambil kekal menghormati agama, keluarga dan diri sendiri.
“Cuma saya masih belum buat apa apa keputusan buat masa sekarang. Saya mohon doa agar saya terus kuat,” katanya.
Dalam masa sama, Kilafairy menegaskan pemergian ibu tercinta yang juga penyanyi Allahyarham Rohana Jalil memberi kesan kepada hidupnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Iman dah hujung-hujung, Kilafairy terfikir buka tudung
ARTIKEL BERKAITAN: Pakai baju pengantin, peminat buat carian ‘husband Kilafairy’ di TikTok... Tuan badan syukur ramai doa perkara baik
“Kehilangan mama memang memberi kesan kerana selama ini dialah insan yang akan mengingatkan dan menasihati saya.
“Namun saya masih ada ayah, kakak dan adik-beradik mama. Mereka adalah sumber kekuatan saya dan kehilangan mama bukanlah penyebab tercetusnya rasa nak buka tudung“ katanya.
Sebelum ini, kenyataan Kilafairy di platform media sosial berhubung soal iman yang goyah mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen, terutama apabila dia menulis seakan-akan sedang bergelut dengan identiti diri dan keputusannya untuk terus bertudung.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube