suria

"Normal untuk melonggarkan sedikit tudung" - Qasrina Karim tak perasan aurat terdedah ketika ‘make up’

Qasrina mengaku dirinya khilaf tak perasan aurat terdedah dalam video Meerqeen.

PELAKON Qasrina Karim mengakui kesilapan apabila tidak menutup aurat sepenuhnya dalam sebuah video yang dimuat naik oleh aktor Meerqeen di platform TikTok.

Menjelaskan perkara sebenar, Qasrina, 29, berkata ketika itu dia sedang bersolek dan membuat persiapan sebelum memasuki set penggambaran.

Bagaimanapun, situasi tersebut bukanlah alasan untuknya mendedahkan aurat sesuka hati.

Qasrina tidak sengaja memperlihatkan auratnya dalam video Meerqeen.

"Ketika video itu dirakam, saya sedang bersiap dan bersolek. Pada saya, adalah normal untuk melonggarkan sedikit tudung bagi memudahkan proses solekan.

"Namun begitu, saya akui ia bukan alasan untuk terlepas pandang terhadap pendedahan sedikit aurat saya.

"Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Terima kasih yang ambil berat dan titip nasihat," katanya kepada mStar.

Qasrina berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas majlis sidang media drama bersiri Thariq Ridzuwan: His Treasure yang diadakan di TGV Cinemas, Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis. 

ARTIKEL BERKAITAN: Teguran macam tak dipedulikan, peminat kecewa Qasrina Karim tak jaga aurat

ARTIKEL BERKAITAN: Qasrina Karim cantik orangnya tapi kurang dapat perhatian - “Biar bakat diperkatakan bukan kontroversi”

Dalam perkembangan lain, Qasrina turut berkongsi mengenai keserasian bekerja bersama Meerqeen dalam drama terbaharu itu.

Menurutnya, mereka tidak berdepan kesukaran untuk bekerjasama memandangkan hubungan akrab yang sudah lama terjalin. 

"Saya bersyukur kerana keserasian antara kami mudah dibentuk dalam drama ini.

"Di luar set penggambaran pun kami berkawan, jadi tidak susah untuk bergandingan apabila berada dalam satu set yang sama.

Qasrina serasi digandingkan dengan Meerqeen dalam drama terbaharu mereka.

"Meerqeen seorang yang mudah didekati, bukan hanya dengan saya tetapi dengan semua krew produksi," jelasnya.

Sebelum ini, sebuah video yang dimuat naik oleh Meerqeen di TikTok menimbulkan reaksi netizen apabila kelihatan sedikit bahagian leher dan rambut Qasrina yang tidak ditutup sepenuhnya.

Rata-rata meluahkan rasa kecewa terhadap pelakon itu kerana tidak menjaga aurat sepenuhnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain