KONSERT Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 bakal mencipta kelainan tersendiri dalam landskap hiburan tanah air dengan membawakan konsep yang segar dan penuh makna.
Festival ini menggabungkan persembahan muzik secara langsung bersama perkongsian kisah inspirasi di sebalik lagu-lagu popular yang digemari ramai.
Lebih daripada sekadar acara hiburan, RIF 2025 diwujudkan sebagai satu ruang untuk para peminat menyemai semangat baru dan mendapatkan motivasi dalam hidup melalui muzik.
Juicy Luicy jadi tarikan utama di RIF 2025.
Menurut wakil penganjur, Bram Tulong, pemilihan nama ‘Ruang Inspirasi’ mencerminkan hasrat untuk menjadikan muzik sebagai medium yang menyentuh emosi dan memberi inspirasi bukan sekadar untuk berhibur.
“Kami nak penonton rasa dekat dengan artis. Bukan sekadar tengok dari jauh, tapi betul-betul faham dan terinspirasi dengan cerita mereka," katanya.
Antara tarikan utama pada edisi kali ini adalah kemunculan kumpulan dari Indonesia, Juicy Luicy yang bakal menghangatkan pentas RIF 2025.
Dikenali menerusi lagu-lagu seperti Lantas, Lampu Kuning dan Sialan, kumpulan itu telah membina peminat yang kukuh di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda.
ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun bersama... Air mata Insomniacks tumpah di konsert sulung
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Black Hanifah kena ‘scam’, dakwa individu lari daripada tanggungjawab urus konsert
“Juicy Luicy sememangnya dekat di hati pendengar muda Malaysia. Lagu-lagu mereka sarat dengan emosi dan mesej yang bermakna.
"Atas sebab itu, mereka dipilih sebagai tumpuan utama dalam festival kali ini," ujarnya.
Penganjuran RIF 2025 merupakan langkah pertama dalam perancangan lebih besar oleh syarikat Expoindo sebagai penganjur konsert yang bercita-cita untuk memperluaskan festival ini ke bandar-bandar utama lain di Malaysia.
Menerusi kerjasama dengan BBO Events, RIF dilihat berpotensi menjadi platform serantau yang menghubungkan artis-artis dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan hubungan budaya antara dua negara jiran.
RIF 2025 mahu kukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.
RIF 2025 akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 17 Ogos depan.
Harga tiket bermula daripada RM128 sehingga RM528 untuk persembahan malam yang menampilkan Juicy Luicy.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube