suria

[V] Bunga Citra Lestari bahagia ada tiga keluarga, syukur ibu bapa Ashraf Sinclair terima suami baharu

DUA tahun kembali bergelar isteri, penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari bersyukur apabila keluarga Allahyarham suaminya dapat menerima kehadiran Tiko Aryawardhana. 

Bunga, 42, berkata ibu dan bapa mentuanya juga tidak mempunyai masalah sekiranya dia masih menjalinkan hubungan baik dengan keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair. 

Malah, Bunga merasa beruntung kerana dia kini sudah memiliki tiga buah keluarga. 

"Mereka (keluarga Ashraf) menerima Tiko seadanya. Saya juga bersyukur keluarga Ashraf dapat menerima kehadiran Tiko. 

Bunga masih menjalinkan hubungan baik dengan ibu dan bapa Ashraf.

"Tidak hanya Tiko, tapi seluruh keluarga dia juga. Mereka juga tidak kisah melihat hubungan baik saya dengan keluarga Ashraf.

"Kalau dilihat semula sewaktu perkahwinan kami di Bali, saya seperti ada tiga ibu bapa sekarang. Ada ibu bapa saya, ibu bapa Ashraf dan ibu bapa Tiko. Jadi semuanya jadi satu keluarga," katanya kepada mStar. 

Bunga berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media An Intimate Afternoon with Bunga Citra Lestari di Imperial Lexis, Kuala Lumpur pada Isnin. 

Dalam pada itu, Bunga memberitahu dia masih menjalinkan hubungan baik dengan keluarga Ashraf kerana rasa kasih dan sayangnya itu bukan hanya untuk arwah suaminya tetapi buat mereka semua. 

ARTIKEL BERKAITAN: “I miss you” - Bunga Citra Lestari luah rindu, titip ucapan sempena ulang tahun kelahiran arwah Ashraf Sinclair

ARTIKEL BERKAITAN: Bunga Citra Lestari sah bergelar isteri Tiko Aryawardhana, keluarga Ashraf Sinclair turut saksi hari bahagia

Tambahnya, keluarga Ashraf terlalu baik dan dapat menerima kehadiran Tiko dalam kehidupan baharunya itu. 

"Dulu saya mempunyai hubungan dengan Allahyarham Ashraf sebagai suami dan isteri. 

"Saya tidak hanya bernikah dan mencintai Ashraf tetapi saya menyayangi seluruh keluarganya.

Saya seperti ada tiga ibu bapa sekarang.

BUNGA CITRA LESTARI

PENYANYI/PELAKON

"Keluarga Ashraf pun sangat baik dengan saya, selalu memberi sokongan kepada saya. Malah sekarang menyokong Tiko untuk masuk ke dalam keluarga kami," ujarnya.  

Bunga bagaimanapun merasakan ikatan yang terjalin antara ketiga-tiga buah keluarga ini merupakan satu nikmat bahagia yang dimilikinya. 

"Kami seperti sebuah keluarga besar. Saya rasa ia satu perkara sangat indah kerana bukan semua orang mempunyai kelebihan seperti ini.

"Lagi pun kami semuanya bersikap matang jadi hubungan itu lebih mudah untuk dijalinkan. 

Bunga bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 27 September depan.

"Tidak ada perasaan cemburu atau iri hati, cuma bagaimana cara kita saling memberikan sokongan antara satu sama lain," katanya. 

Untuk rekod, Bunga dan Tiko melangsungkan pernikahan di Bali, Indonesia pada 2 Disember 2023.

Sebelum ini Bunga pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ashraf Sinclair pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Noah Aidan Sinclair, 14 tahun.

Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari 2020 semasa tidur akibat serangan jantung.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain